Juruterbang TransAsia yang terlibat dalam nahas pada Rabu dijulang sebagai wira atas kemahirannya mengelak kejadian lebih buruk berlaku. -Gambar fail
TAIPEI: Juruterbang pesawat TransAsia yang terlibat dalam nahas di Taiwan pada Rabu dijulang sebagai seorang wira atas usaha dan kemahirannya mengelak kejadian lebih buruk berlaku.
Juruterbang tersebut dilaporkan bergelut untuk mengelak pesawat malang itu daripada melanggar bangunan tinggi di kawasan perumahan berdekatan lapangan terbang sejurus membuat panggilan kecemasan.
Kemalangan yang berlaku pada Rabu itu telah mengorbankan sejumlah 31 orang setakat ini dengan lebih banyak mayat ditemui, termasuk mayat juruterbang tersebut dan pembantunya.
Ketika ini, pasukan penyelamat Taiwan masih melakukan pencarian 12 mangsa yang masih hilang.
Pesawat TransAsia ATR 72-600 yang membawa 53 penumpang dan lima anak kapal itu terhempas tidak lama selepas berlepas dari lapangan terbang di utara Songshan, Taipei.
Pesawat yang dilaporkan menghadapi masalah enjin itu miring ke kiri di mana sayapnya bergeser dengan sebuah teksi dan melanggar jambatan sebelum terjunam ke Sungai Keelung.
Juruterbang pesawat itu menerima pujian pakar penerbangan kerana berjaya mengemudi pesawat jauh dari kawasan penempatan penduduk dan bangunan tinggi untuk mengelak berlaku bencana lebih besar.
"Berdasarkan laluan penerbangan yang diambil, juruterbang telah keluar daripada laluan asal untuk mengelak bertembung halangan.
“Juruterbang kemudian bertindak menjunamkan pesawat ke sungai untuk mengelak bencana yang lebih dahsyat.
“Ini satu langkah yang sangat berani," kata penganalisis penerbangan yang berpangkalan di Hong Kong Daniel Tsang kepada AFP.
Rakyat Taiwan melontarkan pujian dan ucapan takziah mereka di laman media sosial.
"Saya percaya juruterbang berjaya mengemudi pesawat itu daripada melanggar bangunan tinggi, dia adalah seorang wira," kata penulis dan pelakon Gin Oy di laman Facebook-nya.
- Sumber: AFP
No comments:
Post a Comment