Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika menyampaikan ucaptama simposium kebangsaan kepimpinan dan aspirasi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, hari ini.
KUALA LUMPUR - Penularan fahaman Islamic State (IS) dalam kalangan generasi muda di negara ini di luar kawalan kerajaan disebabkan mereka menggunakan platform langit terbuka sebab medium penyebaran gerakan haram itu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bagaimanapun berkata, kerajaan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk serangan kumpulan IS tersebut.
"Tak boleh (kawal pergerakan) sebab dasar langit terbuka, tambang penerbangan yang murah dan maklumat IS menular merentasi sempadan.
"Agak sukar untuk kita kawal pergerakan orang, duit dan ideologi tersebut dan ini merupakan satu fenomena baru.
"Kita buat apa yang kita mampu, tetapi sama ada kita dapat tanganinya, ini merupakan soalan yang ditanya-tanya oleh semua negara di luar sana," katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada simposium kebangsaan aspirasi dan kepimpinan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.
Beliau berkata lagi, jika Malaysia bekerjasama dengan negara Asean yang lain, Naib Presiden Umno itu yakin tindakan militan itu yang giat merekrut anak muda di rantau ini dapat dibendung dengan lebih berkesan.
"Kita mempunyai peluang cerah jika kita bekerjasama dengan negara Asean kerana pergerakan orang sama ada dari negara destinasi atau negara transit atau negara sasaran sama ada di Syria atau kembali selepas apa melakukan di sana. Ini semua pergerakan melibatkan semua negara," ujarnya.
Tambah beliau lagi, serangan militan ke atas negara ini khususnya masih dalam keadaan terkawal dan masih terlalu awal untuk menentukan cubaan militan tersebut untuk melancarkan serangan ke atas Malaysia.
"Kalau Perancis, Sydney malah Australia pun dengan kecanggihan maklumat, aset dan sejarah kemampuan angkatan tentera dan polis mereka pun sukar tangani satu dua orang adik beradik, bayangkan apa yang terpaksa kita lalui dalam keadaan yang serba kekurangan," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment