Sunday, 8 February 2015

Diserbu ketika urut pelanggan

Lima tukang urut warga Indonesia dan lima pelayan restoran warga Filipina ditahan dalam Ops Sayang di dua lokasi berasingan

JOHOR BAHRU – Lima wanita warga Indonesia antara 12 ditahan ketika sedang leka mengurut pelanggan hasil pemeriksaan Jabatan Imigresen Negeri Johor dalam dua serbuan berasingan di sini, kelmarin.

Serbuan pertama dilakukan di sebuah pusat rawatan tradisional di Taman Johor Jaya pada kira-kira jam 4.55 petang manakala serbuan kedua dilakukan pada jam 9.45 malam di sebuah kafe di Taman Seri Tebrau.

Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Johor, Kharulanuar Abu Bakar berkata, seramai 30 individu diperiksa dalam kedua-dua serbuan dan mereka yang ditahan terdiri daripada tujuh warga Indonesia dan lima warga Filipina termasuk 10 wanita.

“Dalam serbuan pertama lima wanita Indonesia ditahan ketika sedang mengurut pelanggan masing-masing di dalam bilik yang dikhaskan pihak premis.

Katanya, lima pelayan wanita warga Filipina dan dua pelanggan warga Indonesia ditahan dalam serbuan kedua ketika kesemua mereka sedang leka melayan pelanggan dan menjamu selera.

“Seramai 20 orang diperiksa dalam serbuan kedua dan tujuh daripadanya ditahan selepas disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment