Kerja mencari dan menyelamat mangsa turut mendapat bantuan penduduk kampung.
Anggota bomba melakukan selaman di lokasi kejadian.
KEMAMAN – “Baru tujuh bulan kami kahwin tiba-tiba jadi tragedi ini, namun selagi dia tidak dijumpai.. saya akan terus berdoa agar dia selamat.”
Hanya ungkapan itu mampu terucap pada bibir Nurul Liana Abdul Latif, 28, selepas suaminya, Rimedan Seman, 25, yang keluar memancing dikhuatiri lemas apabila dihanyutkan arus sungai berpusar dalam kejadian di Sungai Banho, Hulu Cerul, kira-kira jam 7.30 petang kelmarin.
Sebelum insiden itu, mangsa yang datang memancing bersama 10 rakannya turut memasang khemah kerana mahu bermalam di kawasan tebing sungai itu.
Bagaimanapun, selepas memancing hingga senja, mangsa yang cuba menyeberang sungai keseorangan untuk pulang semula ke khemah hilang bersama pusaran arus deras sungai itu.
Nurul Liana berkata, dia turut melakukan solat hajat sebagai ikhtiar agar suaminya itu dapat ditemui segera.
“Semasa keluar rumah, abang (Rimedan) sangat ceria, malah untuk pergi memancing dia sanggup ambil cuti.
"Tak sangka begini pula jadinya, namun walau apapun berlaku saya akan tetap tunggu kepulangannya,” katanya sebak.
Nurul Liana bersama suaminya yang bekerja di sebuah syarikat swasta di kawasan perindustrian petroleum di Paka, Dungun tinggal bersama kedua ibu bapa mertuanya di Felda Neram 1.
Adik mangsa pula, Risbulah, 22, berkata, sebelum keluar rumah abangnya itu memberitahu akan pulang pada pagi hari ini (Khamis).
“Abang cakap dia akan berada di sungai itu hanya untuk satu malam sahaja. Semasa abang keluar, tidak timbul rasa bimbang dalam hati saya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Zon 2 Bomba Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II Azmi Ab Rahim berkata, sebaik menerima panggilan orang ramai jam 9. 28 malam, sepasukan anggota bomba terdiri daripada lapan anggota dan dua anggota bomba bantun dari Balai Bomba Cheneh bergegas ke tempat kejadian.
Katanya, 10 rakan mangsa tidak dapat menyelamatkannya semasa dia dihanyutkan arus deras berikutan keadaan air sungai yang berpusar dan berbahaya.
“Disebabkan keadaan sudah malam dan cuaca gelap semalam (kelmarin) terpaksa dihentikan dan operasi mencari mangsa diteruskan pada jam 8 pagi ini (semalam) dengan bantuan penduduk kampung, anggota Rela dan polis di lokasi kejadian," katanya.
Namun, sehingga jam 6 petang semalam, mangsa masih belum ditemui dan operasi bersambung hari ini.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment