KUALA LUMPUR - Asteroid 2004 BL86 bersaiz kira-kira 500 meter diameter (0.5km), yang menghampiri bumi setiap 200 tahun sekali, akan muncul semula pada 27 Januari ini, jam 12.20 tengah malam.
Agensi Angkasa Negara (Angkasa) dalam satu kenyataan hari ini berkata, pada Selasa depan Asteroid itu akan berada paling hampir dengan bumi pada jarak kira-kira 1.2 juta kilometer atau lebih kurang tiga kali jarak bumi ke bulan.
"Kecerahan Asteroid 2004 BL86 dianggarkan pada magnitud kesembilan dan bergerak pada orbitnya mengelilingi matahari dengan kelajuan 56,420km sejam pada 26 dan 27 Januari.
"Pada kedudukan ini, ia kelihatan bergerak di hadapan bintang-bintang dan dapat dilihat hanya menerusi teleskop atau binokular berkuasa tinggi," menurut kenyataan itu.
Asteroid 2004 BL86 ini telah ditemukan oleh teleskop Lincoln Near-Earth Asteroid Research (Linear) di White Sands, New Mexico pada 30 Januari 2004.
"Para penyelidik di seluruh dunia menjangkakan, selepas kemunculan Asteroid 2004 BL86 pada tahun ini, tiada asteroid lain yang diketahui akan berada paling hampir dengan bumi sehingga tahun 2027.
"Orang ramai tidak perlu bimbang kerana ia tidak akan mendatangkan sebarang bahaya kepada bumi," menurut kenyataan itu.
Untuk mencerap, orang ramai boleh merujuk kepada buruj Cancer dan lokasi pencerapan mestilah jauh daripada pencemaran cahaya di kawasan yang lapang dengan keadaan cuaca yang mengizinkan.
"Observatori Negara Langkawi (ONL) dengan kerjasama Angkasa juga akan menjalankan pencerapan Asteroid 2004 BL86 pada 27 Januari," kata kenyataan itu.
Angkasa mengalakkan orang ramai yang memiliki teleskop sendiri, untuk berkongsi gambar di laman sosial Angkasa iaitu Facebook: Agensi Angkasa Negara dan Twitter: angkasamalaysia.
Imej yang dimuat naik juga boleh diletakkan hashtag: #ASTEROID2004BL86Malaysia. Untuk pertanyaan lanjut sila hubungi ONL di talian 04-966 8870 atau Planetarium Negara di talian 03-2273 4303 dan e-mel di webmaster@angkasa.gov.my/planetariumweb@angkasa.gov.my.
- Sumber: Bernama
No comments:
Post a Comment