Friday, 2 January 2015

Harga minyak perlu ditetapkan secara mingguan, bukan bulanan

RAFIZI: Keadaan harga minyak mentah terus jatuh dan dijangka kekal begitu sepanjang tahun 2015

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan digesa menukar jadual menyelaraskan harga petrol dan diesel dari sebulan sekali (seperti sekarang) kepada setiap seminggu sekali.

Cadangan itu dikemukakan oleh Naib Presiden Keadilan, Rafizi Ramli dalam satu kenyataan media hari ini.

Rafizi berkata rakyat akan dapat menikmati harga petrol yang jauh lebih rendah (misalnya harga RON95 bagi minggu ini menurutnya sepatutnya hanya RM1.87 seliter mengikut pelarasan mingguan seperti dicadangkan).

Tambahnya, rakyat tidak perlu membayar “cukai tersembunyi” yang terlalu tinggi seperti yang berlaku sekarang.

“Apabila harga yang dibayar oleh rakyat jauh lebih tinggi dari harga pasaran sebenar yang ditetapkan oleh formula, setiap sen lebihan itu dikutip oleh Kerajaan Persekutuan sebagai cukai,” kata Rafizi.

Mengambil contoh pada harga pasaran pada 30 Disember 2014, beliau berkata harga pasaran RON95 yang ditetapkan oleh formula Kerajaan Persekutuan sendiri adalah RM1.75 seliter tetapi rakyat masih terpaksa membayar RM2.26 seliter iaitu 50 sen lebih mahal dari harga sebenar.

“Jumlah 50 sen setiap liter yang dibayar lebih mahal dari harga pasaran ini dikutip sebagai cukai oleh Kerajaan Persekutuan,” jelasnya.

Tambah Rafizi, dalam keadaan harga minyak mentah terus jatuh dan dijangka kekal begitu sepanjang tahun 2015, kaedah menyemak dan menyelaraskan harga RON95 dan diesel dengan harga pasaran setiap sebulan sekali seperti yang diamalkan sekarang memangsakan rakyat.

“Apabila semakan dan penyelarasan harga lambat dilakukan, rakyat terpaksa membayar harga sebulan yang lepas yang sudah tentu jauh lebih tinggi dari harga dan kos sebenar yang ditanggung syarikat minyak,” kata Rafizi.

- Sumber: Astro Awani

No comments:

Post a Comment