Penggunaan i-ACC ini akan mula diperkenalkan untuk gred eksekutif Honda CR-V tahun 2015 (versi Eropah); sistem ini juga boleh membezakan sama ada pemanduan dijalankan di Britain (pemanduan di belah kiri) ataupun di negara-negara Eropah lain di mana pemanduan adalah di lorong kanan.
Kita semua tahu apa itu ‘cruise control’ kan? Tetapi mungkin kurang sikit mengenali teknologi ‘Adaptive Cruise Control’ (ACC) yang mampu untuk memperlahankan kenderaan dengan automatik apabila ada kenderaan yang lebih perlahan ada dihadapannya.
Keupayaan ini dicapai dengan penggunaan sensor/radar yang mengesan objek di hadapan; dan pemandu boleh menetapkan jarak minima kepada kenderaan tersebut.
Dan sekarang Honda sudah memajukan lagi teknologi ini dengan memperkenalkan Intelligent Adaptive Cruise Control (i-ACC). Secara ringkasnya, bukan sahaja ia akan memperlahankan kenderaan tanpa input daripada pemandu, ia juga cuba untuk menjangkakan apabila ada pemandu lain akan memotong masuk di antara kereta anda dan kereta di hadapan secara tiba-tiba.
Jika aksi menyelit/cilok ini terjadi kepada pemandu yang menggunakan ACC, tindakan sistem untuk memperlahankan kenderaan dan kembali kepada jarak yang ditetapkan adalah perlahan. Oleh itu, brek juga akan lebih agresif dan ini akan menggangu kelancaran pemanduan.
i-ACC pula cuba untuk meneka jika ada mana-mana pemandu yang akan tiba-tiba memasuki lorong anda sehingga 5 saat sebelum ia berlaku. Mengikut Honda, sistem i-ACC menggunakan sebuah kamera dan radar untuk mengumpul maklumat persekitaran lantas berdasarkan algoritma yang ada membuat tafsiran sama ada penukaran lorong akan terjadi. Jika ada, sistem akan bertindak terlebih dahulu untuk mengurangkan kelajuan kenderaan.
Teknologi i-ACC ini dihasilkan oleh pasukan Honda sendiri yang terdiri daripada penyelidik warnanegara Jepun dan Eropah.
Namun, sistem ini khusus dibangunkan untuk jalanraya di Eropah kerana segala penyelidikan berkisar sifat-sifat pemandu hanya dibuat di pelbagai negara di dalam benua tersebut. Sepertimana yang kita ketahui, pemandu di beberapa negara lain, contohnya Malaysia, adalah sangat berbeza. Tiada algoritma ataupun komputer yang dapat meneka apa yang mungkin hendak dibuat oleh seorang pemandu tipikal di Malaysia.
- Sumber: Astro Publication
- Sumber: Astro Publication
No comments:
Post a Comment