Monday, 22 December 2014

Wanita Australia didakwa bunuh tujuh anak kandung

Polis dalam satu kenyataan mengatakan dia dituduh di hadapan seorang majistret di Hospital Cairns Base, Queensland tempat dia ditahan. - Gambar Fail

CAIRNS: Ibu kepada tujuh daripada lapan kanak-kanak yang ditemui mayatnya di sebuah rumah di Cairns, Australia pada Jumaat lalu didakwa hari ini, kata polis.

Wanita berusia 37 tahun yang tidak dinamakan dan kini berada di bawah pengawasan di hospital, dituduh dengan lapan dakwaan membunuh.

Polis dalam satu kenyataan mengatakan dia dituduh di hadapan seorang majistret di Hospital Cairns Base, Queensland tempat dia ditahan.

Polis bagaimanapun tidak mendedahkan bagaimana kanak-kanak malang terbabit yang berusia di antara dua dan 14 tahun itu dibunuh. Empat daripadanya kanak-kanak perempuan dan empat lagi lelaki.

Polis sebelum ini berkata mereka menemui pisau di sisi mayat ditemui namun masih melihat kemungkinan pelbagai senario termasuk lemas.

Siasatan dan autopsi polis akan diteruskan menurut pegawai penyiasat Bruno Asnicar dan paling awal dijangka siap hari ini.

Tertuduh adalah ibu kepada tujuh kanak-kanak terbabit dan ibu saudara kepada salah seorang mangsa perempuan.

Polis Queensland tidak mendedahkan nama anggota keluarga terbabit atas alasan budaya.

Sesetengah budaya pribumi negara itu tidak membenarkan nama mangsa disebut kerana dianggap tidak menghormati mereka yang meninggal dunia.

Insiden penemuan mayat terbabit menggemparkan negara itu yang baru sahaja dikejutkan dengan insiden tebusan di sebuah kafe di Sydney yang meragut tiga nyawa minggu lalu. 

- Sumber: AFP 

No comments:

Post a Comment