Wednesday, 3 December 2014

Pengarah syarikat adik-beradik dituduh rasuah hampir RM8 juta

Lim Ann Kok dan adiknya Ann Liang dituduh dengan 11 pertuduhan mengemukakan invois dan pesanan penghantaran palsu bernilai lebih RM7.9 juta sejak tahun 2008 hingga 2011.

KUALA LUMPUR: Dua beradik merangkap pengarah syarikat kejuruteraan dituduh dengan 11 pertuduhan tuntutan palsu bernilai lebih RM7.9 juta.

Lim Ann Kok, 60, dan adiknya Lim Ann Liang, 47, masing-masing pemilik syarikat All Build Sdn Bhd dan Pengarah Operasi dan akauntan J&M Power Resources Sdn Bhd dituduh dengan 11 pertuduhan mengemukakan invois dan pesanan penghantaran palsu bernilai lebih RM7.9 juta sejak tahun 2008 hingga 2011.

Kedua adik-beradik tersebut dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah Khas Rasuah (9) di sini pagi Selasa.

Ann Kok yang dituduh bersama-sama adiknya telah mengemukakan invois dan pesanan penghantaran palsu kepada pihak Maybank di Jalan Pudu dalam membuat tuntutan kepada pinjaman perniagaan (trade finance) yang berjumlah lebih kurang RM7.9 juta yang telah diluluskan kepada syarikat All Build Sdn Bhd.

Syarikat All Build Sdn Bhd ada mempunyai 'banking fasilities' dengan pihak Maybank termasuk kemudahan "bankers acceptance" (BA) di mana ia merupakan satu kemudahan pembiayaan di mana bayaran akan dibuat oleh Maybank terus ke akaun pihak ketiga untuk tujuan pembelian ataupun penjualan.

Jika didapati bersalah, hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pihak pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang diwakili Pegawai Pendakwa Penguasa Kanan Wan Ahmad Nidzam Wan Omar mencadangkan kesemua pertuduhan diberi jaminan setiap seorang RM200,000 dengan seorang penjamin tempatan serta dikenakan syarat menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Ashok Kandiah yang mewakili kedua-dua tertuduh dari Kandiah Partnership menawarkan jaminan dikenakan sebanyak RM100,000 untuk setiap tertuduh dan mahkamah menimbangkan agar pasport tidak diserahkan atas alasan kedua-dua tertuduh kerap ke luar negara atas urusan perniagaan dan keluarga.

Hakim Rosbiahanin Arifin memutuskan jaminan setiap tertuduh adalah sebanyak RM150,000 setiap seorang dengan penjamin tempatan manakala pasport ditahan di mahkamah dan kebebasan untuk memohon bila-bila diperlukan.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment