Wednesday, 3 December 2014

Jerung 'photobomb' gambar di Australia

Jerung jenis 'spinner' berenang di belakang peluncur dan perenang sewaktu pertandingan meluncur di Australia. - Gambar: BBC News

Seorang penonton pertandingan meluncur di New South Wales berjaya merakamkan gambar seekor jerung 'photobomb' peserta luncur di sebuah pantai.

Saat luar biasa itu dirakamkan oleh penduduk tempatan, Steph Bellamy di pertandingan luncur tahunan Coffs Harbour Boardriders Club di Macauley's Beach.

Menurut Bellamy, "Jerung itu melompat dua kali. Saya berjaya mengambil gambar semasa lompatan keduanya. Segalanya berlaku dalam sekelip mata. Saya boleh mendengar orang bertanya, 'Apa tu?' Saya tidak perasan ia seekor jerung sehinggalah saya 'zoom' gambar yang telah dirakamkan."

"Jerung itu telah 'photobomb' gambar saya," tambah wanita berusia 47 tahun itu lagi.

Istilah 'photobomb' bermaksud seseorang atau sesuatu yang secara sengaja atau tidak sengaja berada dalam gambar ketika ia dirakamkan.

Bukan satu kebiasaan untuk jerung berenang berdekatan dengan persisiran pantai.

Kemunculan jerung itu menyebabkan peluncur terpaksa naik ke darat dan pertandingan dihentikan selama 10 minit sebelum disambung semula.

Gambar tersebut kemudian diperiksa oleh pihak berkuasa di New South Wales Department of Primary Industries (DPI).

DPI mengesahkan jerung itu adalah jenis jerung 'spinner' yang sering dijumpai di utara Jervis Bay dan boleh mencapai panjang 280 sentimeter (9 kaki).

"Gambar yang saya rakamkan dikongsi secara meluas sejak Ahad lepas dan kebanyakannya memberi respon baik. Tidak kurang yang menuduh saya mengubahsuai imej tersebut," kata Bellamy.

Tiada kecederaan dilaporkan dan mereka percaya jerung itu berada di sana untuk memburu ikan.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment