Imbasan sinar-x menunjukkan bahagian kepala orangutan betina yang ditembusi peluru angin. - AFP
JAKARTA: Seekor orangutan ditemui mati selepas ditemui di sebuah ladang kelapa sawit di wilayah Kalimantan Tengah dengan kesan 40 peluru angin di tubuhnya, lapor kumpulan perlindungan haiwan semalam.
Yayasan Penyelamat Orangutan Borneo dalam sebuah kenyataan media memberitahu, orangutan betina dewasa itu ditemui Rabu lalu dalam keadaan kritikal di sebuah ladang kelapa sawit.
Insiden tersebut merupakan kes terkini haiwan primat yang dilindungi menjadi mangsa pembunuhan oleh manusia. Orangutan berdepan risiko kepupusan akibat aktiviti pemburuan haram dan pemusnahan pantas habitat hutan.
Semua itu berpunca daripada kerja pembersihan hutan untuk tujuan membuka ladang kelapa sawit dan pembuatan kertas.
"Keputusan imbasan sinar-X menunjukkan 10 pelet ditemui di bahagian kepala, lapan di kaki kiri dan pelvis, 18 pelet di kaki kanan dan pelvis, dan enam lagi di dada dan tangan kanan,” kata jurucakapnya.
Bahagian kaki atasnya juga sudah patah dan lukanya sudah berulat. Orangutan itu juga kelihatan kurus akibat malnutrisi.
Sekumpulan anggota perubatan telah merawat orangutan berkenaan dalam usaha menyelamatkan nyawanya, namun ia telah mati pada Khamis lalu, kata yayasan berkenaan. Kumpulan tersebut memberitahu, serangan terhadap orangutan berkenaan berlaku tiga hari sebelum ia ditemui.
"Insiden ini memanjangkan lagi senarai konflik antara industri dan hidupan liar, termasuk amalan eksploitasi alam sekitar.
“Yayasan ini mendesak komitmen dan tindakan tegas pemerintah, sektor swasta dalam melindungi orangutan,” ujar jurucakap yayasan yang menyeru agar hal tersebut diberi perhatian serius oleh pemerintah Indonesia.
Orangutan merupakan haiwan asal di pulau Borneo, yang dikongsi antara Indonesia, Malaysia dan Brunei. Kemusnahan hutan hujan Indonesia dan hutan tanah gambut memang banyak berlaku dan ia disebabkan kerancakan aktiviti perladangan dan agrikultur.
- Sumber: AFP
No comments:
Post a Comment