Syed Ahmad Fuad (kiri) bersama pembantunya ketika lawatan dan tinjauan ke rumah PPKB yang kini sudah didiami Hasmah (dua,kiri) sejak dua bulan lalu.
ROMPIN – Seorang wanita warga emas sangat bersyukur kerana menerima rumah Program Perumahan Kemiskinan Bandar (PPKB) iaitu sebuah projek di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) selepas 40 tahun tinggal di rumah yang dibina atas tanah kerajaan.
Hasmah Ibrahim, 76, berkata, hanya ALLAH yang tahu kesukaran hidupnya sebelum ini yang berasal dari sebuah keluarga susah.
“Terus terang makcik memang bersyukur menerima rumah PPKB ini yang sememangnya lebih selesa berbanding rumah asal yang dibina arwah suami atas tanah kerajaan yang didiami sejak 40 tahun lalu. Hanya ALLAH yang tahu perasaan makcik yang terharu ini.
“Kepada pihak yang menyumbangkan rumah ini, makcik ucapkan ribuan terima kasih dan hanya ALLAH yang mampu membalasnya,” katanya.
Beliau ditemui ketika lawatan Pegawai Daerah Rompin, Datuk Syed Ahmad Syed Taha ke rumahnya yang telah siap sepenuhnya serta mula duduki sejak dua bulan lalu.
Menurut Hasmah, penglihatan beliau yang kini sudah semakin kurang jelas menyukarkan aktiviti hariannya di rumah.
“Penglihatan makcik sekarang sudah kurang jelas kerana faktor usia dan agak sukar melakukan aktiviti harian. Nasib ada seorang anak bersama isteri dan anaknya yang tinggal sama untuk menjaga makcik,” katanya.
Sementara itu, Syed Ahmad Fuad yang ditemui berkata, ucapan terima kasih dan sekalung penghargaan kepada KPKT yang memperuntukkan 10 rumah PPKB bagi daerah Rompin.
“Selain rumah makcik Hasmah, sembilan lagi penerima tidak mempunyai tanah sendiri, jadi pihak Pejabat Daerah dan Tanah Rompin telah menyediakan satu lokasi yang strategik serta selesa untuk pembinaan sembilan rumah tersebut.
“Bagaimana pun, sembilan rumah tersebut tidak diberikan hak pemilikan terus berbanding rumah PPKB yang dibina atas tanah sendiri. Saya lihat penerima gembira dengan penyerahan rumah tersebut dan berharap mereka dapat membina hidup yang lebih baik selepas ini,” katanya.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment