Tuesday, 30 December 2014

Leez Rosli akhiri zaman bujang


SETELAH hampir tiga tahun menyulam cinta, pelakon yang juga bekas peserta Akademi Fantasia musim keempat, Leez Rosli, selamat disatukan dengan cinta hatinya, vokalis kumpulan Drama Band, Aepul atau nama sebenarnya Noorsyaiful Md Zalaludin, Sabtu lalu.

Pasangan ini selamat dinikahkan oleh bapa Leez, Rosli Awang dengan tiga kali lafaz, disaksikan Penolong Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk, Muhamad Jalani Ahmad, di Masjid Salahuddin Al Ayubi, Taman Melati.

Dalam majlis serba ringkas itu, Leez menerima mas kahwin berjumlah RM80 bersama sembilan dulang hantaran dan di balas sebelas dulang daripada pihak perempuan.

Bagaimanapun jumlah wang hantaran dirahsiakan.

Mengakui terasa segalanya yang berlaku bagaikan mimpi, Leez atau nama sebenarnya Rosliza Rosli, 27, berkata, dia lega apabila majlis pernikahannya itu berjalan dengan lancar.

“Alhamdulillah segalanya sudah selesai biarpun bapa saya gugup sampai tiga kali baru sah lafaz, tapi semuanya sudah selamat. Saya sendiri kena tepuk pipi kerana terasa semua yang berlaku tadi bagai sebuah mimpi.

“Memang agak sebak lebih-lebih lagi tanggungjawab abah terhadap saya sudah selesai dan kini terserah kepada Aepul untuk menjaga saya,” katanya yang ditemui usai majlis pernikahan tersebut.

Ditebak keistimewaan Aepul di matanya, Leez berkata, sikap Aepul yang tegas dan pandai menjaga hati dan perasaannya membuatkan dia senang bersama dengan lelaki berusia 26 tahun itu.

“Kami kenal ketika berada di Johor pada awal 2012, ketika itu Aepul bersama Drama Band menjalani penggambaran Ekspedesi Kembara. Dari berkawan, dari situ hubungan kami semakin rapat.

“Sebelum ini saya banyak kenal lelaki yang tidak serius dalam berkawan, tapi dengan Aepul, dia cukup serius dan paling penting dia pandai menjaga perasaan saya. Itulah yang menyebabkan saya yakin dia sesuai untuk saya,” katanya.

Merancang untuk berbulan madu ke Pulau Redang selepas selesai majlis resepsi Februari depan, Leez berkata, dia tidak merancang soal cahaya mata, dan menerima andai dikurniakan rezeki awal.

Akui bimbang

Leez yang kini masih sibuk menjalani penggambaran drama untuk slot Azalea TV3 berjudul Padamu Aku Bersujud, di samping Syazwan Zulkifli berkata, dia akan terus aktif di dalam bidang seni selepas ini biarpun sudah bergelar isteri.

Bagaimanapun ujar Leez, dia akan lebih selektif dari segi watak dan mengutamakan suaminya selepas ini.

“Ada orang kata, artis bila kahwin kariernya akan jatuh tapi ada yang kata bila kahwin rezeki makin murah. Walaupun risau dengan karier saya, saya yakin dengan rezeki dari ALLAH SWT. Cuma dari segi watak saya akan lebih selektif dan akan berbincang dengan Aepul,” katanya.

Biarpun mengakui jarang mendapat peluang muncul di media massa, Leez berkata, dia tidak menjadikan segala itu sebagai satu alasan untuk terus aktif di dalam bidang seni.

“Kalau saya jumpa media, memang mereka selalu tanya adakah saya masih aktif dan saya tahu saya kurang menonjol di kalangan media. Tapi saya masih menerima tawaran berlakon drama-drama RTM.

“Cuma rezeki untuk menonjol belum ada dan saya sendiri sedar duduk, bangun saya di dalam industri. Namun saya tetap bersyukur kerana masih ada peminat dan media yang menyokong kerjaya saya dan perasan kehadiran saya dalam industri sejak tujuh tahun lalu,” ujarnya.

Berazam untuk terus mencari peluang di dalam bidang seni, Leez berkata, dia mengimpikan mendapat sebuah naskhah yang akan melonjakkan namanya selepas ini.

- Sumber: Sinar Harian | December 29, 2014

No comments:

Post a Comment