Reaksi ahli keluarga mangsa nahas pesawat AirAsia QZ8501 yang tidak dapat menahan kesedihan setelah mendengar khabar terkini. - Foto AFP / MANAN VATSYAYAN
KUALA LUMPUR: Beberapa anggota keluarga penumpang pesawat AirAsia QZ8501 tidak dapat menahan pilu lalu jatuh pengsan di Pusat Krisis Lapangan Terbang Juanda kerana terkejut mendengar khabar terbaru tentang penemuan dan pemindahan mayat mangsa nahas pesawat tersebut, lapor Kompas.com hari ini.
Empat individu tersebut tidak dapat menahan sedih mereka setelah rakaman langsung usaha pemindahan mayat penumpang disiarkan oleh sebuah televisyen swasta republik itu.
Salah seroang daripada mereka, Nasarudin, yang turut meratapi nasib ahli keluarganya sebagai penumpang pesawat malang itu, mengakui bahawa tidak semua waris dan ahli keluarga mangsa nahas sanggup menonton siaran tersebut.
“Ada sebahagiannya tabah menonton, namun sebahagian lagi terus jatuh pengsan,” ujarnya.
Suasana panik di ruang berkenaan sudah dirasakan sejak khabar pertama mengenai penemuan serpihan objek berdekatan Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah petang tadi.
Serpihan itu, menurut Ketua Penyelaras Badan SAR Nasional (Basarnas) Indonesia, F. Henry Bambang Sulistyo disahkan daripada pesawat QZ8501.
Setakat ini, seluruh jentera dan tenaga SAR ditumpukan ke arah usaha mencari mangsa nahas dan kerja-kerja pemindahan mayat ke Pangkalan Bun. Lebih 40 mayat mangsa nahas pesawat berkenaan telah dipindahkan oleh pasukan SAR.
Sementara itu, susur masa di media sosial mula dipenuhi pelbagai ucapan takziah, laporan pendek dan juga lampiran gambar daripada orang awam serta petugas media di lokasi sidang media.
No comments:
Post a Comment