- Antara warga emas yang hadir di UTC Kuantan semalam kerana terpengaruh dengan khabar angin kononnya mereka akan dapat bantuan sehingga RM1,500 daripada PPAP dan JKM.
KUANTAN - “Demi ALLAH, saya tiada niat menipu,” kata penulis petisyen, Nazri Abbas, 51, selepas dikatakan cuba mengambil kesempatan ke atas orang ramai dengan mengenakan bayaran untuk mengisi borang keahlian Kelab Warga Emas Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang (PPAP).
Menurutnya, dia mengenakan caj RM3 sahaja bagi membantu rakannya yang meminta mendapatkan ahli dalam kalangan warga emas untuk mengisi borang keahlian berkenaan.
“Itu caj atas perkhidmatan yang saya lakukan dan tiada sebarang niat menipu seperti yang dituduh,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Nazri juga mendakwa tidak tahu menahu mengenai berita bantuan daripada PPAP dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dah hanya menjalankan tugas yang diminta rakannya itu.
Keadaan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) kelmarin kecoh seketika apabila diserbu lebih 100 warga emas untuk mengisi borang bagi mendapatkan bantuan daripada pihak PPAP dan JKM.
Bagaimanapun, maklum balas daripada pengurusan UTC dan PPAP bahawa mereka tidak pernah mengeluarkan sebarang borang pendaftaran bagi tujuan itu.
Nazri juga mendakwa, dia turut menerima maklumat bahawa warga emas yang mengisi borang berkenaan akan menerima sejumlah wang sehingga RM1,500 daripada PPAP dan JKM.
“Itu semua bohong dan saya tidak pernah menyebarkan berita berkenaan dan niat saya hanya membantu PPAP menerima lebih banyak ahli dalam kalangan warga emas,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, dia mula memulangkan wang caj itu kepada orang ramai sejak petang semalam dan awal pagi tadi (semalam).
“Tiada istilah menipu kerana caj itu adalah atas perkhidmatan saya untuk mereka yang meminta saya untuk mengisi borang,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Khas Adun Teruntum, Norbaini Abu Bakar berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang ramai yang diminta mendaftar di sebuah lot kedai di UTC bagi mendapatkan bantuan kewangan daripada agensi berkaitan dengan bayaran RM3 untuk satu borang.
Katanya, seorang lelaki bertugas mengisi borang di premis itu tetapi pihaknya tidak dapat menjelaskan kesahihan borang berkenaan.
Noraini berkata, JKM dan PPAP wajar dipuji kerana bertindak cepat mengatasi masalah itu dengan menghantar wakil ke UTC untuk memaklumkan perkara sebenar.
“Orang awam juga dinasihatkan tidak terpedaya dengan maklumat yang diterima dan notis pemberitahuan juga sudah ditampal di UTC.
“Warga emas yang membuat pendaftaran dengan bayaran RM3 juga mendapat wang mereka semula dan setakat ini semuanya sudah selesai dan perkara yang berlaku disebabkan salah faham,” katanya.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment