KUALA TERENGGANU - Seorang remaja lelaki 16 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki enam tahun, dikhuatiri lemas dalam dua kejadian berasingan berlaku di sini petang ini.
Dalam kejadian pertama, mangsa Mohd Amiro Farhan Alias, dari Kampung Binjai Rendah, Marang dikhuatiri lemas selepas mandi pantai berhampiran Taman Rekreasi Kuala Ibai selepas penat memancing bersama rakannya pada jam 2.30 petang.
Menurut rakannya, Mohd Syafiq Fikri Shafuding, 20, ketika leka mandi, secara tiba-tiba arus deras dengan diselangi ombak kuat datang dan menghanyutkan dia dan mangsa sebelum Mohd Syafiq Fikri sempat menyelamatkan diri.
"Keadaan menjadi lebih sukar apabila kami terperangkap dalam selut berpasir yang dalam selepas dihempas ombak.
"Ketika itu saya berjaya tarik diri dan melepaskan diri manakala Amiro pula masa itu terkapai-kapai meminta pertolongan sebelum ditarik satu arus deras ke tengah laut," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.
Mohd Syafiq Fikri berkata, dia cuba sedaya upaya membantu mangsa namun terhalang disebabkan keletihan sebelum lari meminta bantuan penduduk setempat yang kebetulan melalu kawasan itu.
Sehingga jam 6 petang ini, operasi mencari dan menyelamat mangsa yang diketuai Pegawai Pusat Operasi Bomba negeri, Abdullah Zawawi Mohamed masih diteruskan termasuk menggunakan khidmat pasukan penyelam skuba Bomba.
Manakala kejadian kedua pula melibatkan seorang kanak-kanak lelaki dipercayai lemas selepas terjatuh ke dalam longkang dalam kejadian di Jalan Pusara berhampiran Perkuburan Kristian, di sini kira-kira jam 4.30 petang.
Mangsa Mohammad Zarul Adha Rosmadi, 6, disyaki tergelincir sebelum dihanyutkan arus deras ketika bermain berhampiran longkang itu bersama abang dan sepupunya yang berumur lima tahun.
Difahamkan mangsa yang berasal dari Kampung Ladang Hospital berkunjung ke rumah sepupunya di Jalan Pusara.
Sementara itu, Abdullah Zawawi berkata, sebaik menerima maklumat, pihaknya bergegas ke tempat kejadian dan bertindak membuat pencarian dengan menyusuri ke dalam longkang tersebut dan sehingga kini operasi mencari menemui jalan buntu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abdul Rafar ketika dihubungi Bernama mengesahkan dua kejadian itu.
- Sumber: Bernama
No comments:
Post a Comment