TANAH MERAH - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggagalkan cubaan menyeludup keluar daun ketum ke negara jiran yang dianggarkan bernilai RM10,000 di Kampung Lubuk Dulang di sini, semalam.
Ketua Staf 8 Briged Kolonel Hamdan Ismail berkata, dalam kejadian pukul 6 pagi itu, sekumpulan lelaki bertindak meninggalkan lima guni dan melarikan diri setelah menyedari kehadiran enam anggota tentera dari Batalion Ke-4 Rejimen Sempadan (RS) yang meronda di kawasan berkenaan.
Katanya, setelah membuat pemeriksaan, pasukan tentera berkenaan mendapati lima guni itu mengandungi 125 kilogram daun ketum.
"Daun ketum ini dipercayai daripada jenis mahal atau berkualiti tinggi dan dianggarkan bernilai RM80 bagi satu kilogram berbanding RM60 bagi daun ketum jenis biasa.
"Suspek dipercayai berusia 20 hingga 30 tahun dan mereka bertindak melarikan diri dengan terjun ke dalam sungai Golok lalu berenang ke negara jiran," katanya kepada pemberita di Pos Renap di sini, hari ini.
Katanya barang rampasan kemudian diserahkan kepada Ibu pejabat Polis Daerah Tanah Merah untuk tindakan lanjut.
- Sumber:Bernama
No comments:
Post a Comment