Seperti yang kita semua mungkin ketahui, Perhimpunan Agung UMNO bakal bermula pada malam ini dan seperti biasa, akan bermulalah dominasi siaran media tentang segala yang berlaku sewaktu acara ini berlangsung. Lebih penting, segala yang diperkatakan akan mendapat liputan.
Contoh, Astro Awani baru-baru ini memetik kata-kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim yang menyarankan agar harga kereta dengan kapasiti enjin bawah 2,000cc dapat diturunkan dengan segera.
Kata beliau, perkara ini perlu diberi keutamaan lebih-lebih lagi dengan pengumuman bahawa subsidi kerajaan untuk petrol RON95 dan diesel akan dihentikan bermula 1 Disember 2014.
Isu harga kereta yang mahal sudah lama diperkatakan, dan ada benarnya saranan Datuk Irmohizam itu; tetapi menurunkan harga berdasarkan kapasiti enjin adalah langkah yang salah, melihat kepada keadaan tempatan.
Harus diingatkan kereta yang mahal tidak semestinya bermakna ia mempunyai enjin yang ‘besar’, bahkan mengikut trend semasa, semakin banyak kereta – termasuk jenis mewah – yang dilengkapkan dengan enjin 2,000cc ke bawah.
Baru-baru ini Mercedes-Benz Malaysia (MBM) melancarkan model GLA 250 dengan enjin 1,991cc; harganya? RM268,888. Varian yang lebih murah adalah GLA 200 pada harga RM238,888 dengan enjin 1,595cc.
BMW Malaysia pula tempoh hari melancarkan varian terbaru 3 Series(320i Sport Edition) yang berharga RM258,800. Apakah kapasiti enjin yang digunakan? Hanya 1,997cc. Dan sepertimana Mercedes GLA, juga terdapat varian dengan enjin yang lebih kecil iaitu 316i dengan enjin 1,598cc (RM209,800).
Perkara yang sama dapat dilihat pada Audi dengan model-model seperti A4 sedan, A6 sehinggalah ke kereta sport Audi TT. Porsche juga sekarang menjual model SUV Macan yang datang dengan varian bersama enjin 4 silinder, 1,984cc. Sudahpun dikatakan bahawa enjin 4-silinder bawah 2,000cc akan turut mendapat tempat di dalam model-model Boxster, Cayman dan 911.
Ini terjadi kerana kehendak peraturan di kebanyakkan negara di Eropah yang mengenakan cukai berbeza – untuk penjual dan pembeli – berdasarkan kapasiti serta emisi ekzos kenderaan yang terbabit. Perkara yang sama turut dilihat di Amerika Syarikat. Oleh, itu kenderaan-kenderaan di Malaysia, yang faktor terbesar untuk menentukan harganya adalah masih berdasarkan cukai import dan eksais – tidak mencerminkan spesifikasi teknikal yang terlibat.
- Sumber: Astro Publication
No comments:
Post a Comment