Gambar hiasan: transit.gsu.edu
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia dijangka dapat memiliki kereta elektrik (EV) pada harga di bawah RM100,000 melalui model baharu yang akan diperkenalkan pada 2017.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia Mohamad Madani Sahari berkata, prototaip EV itu sedang dibangunkan dan dijangka siap menjelang September tahun depan.
"Pengeluaran dan penjualan EV ini, masing-masing akan dibuat dalam 2016 dan 2017.
"Akan ada dua model sedan dengan empat tempat duduk dengan kelajuan sehingga 300 kilometer sejam," katanya kepada pemberita selepas Persidangan Mobiliti Lestari 2014 di sini hari ini.
Sekarang ini, EV termurah berharga RM140,000 dan hanya mempunyai kelajuan 150 kilometer sejam. Mohamad Madani berkata bagi memastikan harga rendah, kerajaan juga sedang mengkaji untuk memperkenalkan pajakan bateri litium, sumber kuasa kereta tersebut.
"Pajakan bateri akan mengurangkan kos penyelenggaraan kereta dan satu set konfigurasi bateri serta kereta akan membolehkan bateri ditukar dengan mudah," katanya sambil menambah pengeluaran bateri itu secara domestik merupakan satu lagi langkah untuk merealisasikan pajakan tersebut.
Mohamad Madani berkata, model baharu EV ini dijangka dapat membantu negara mencapai sasaran 10 peratus sumbangan EV kepada jumlah keseluruhan industri menjelang 2020.
"Terdapat juga rancangan untuk membawa masuk unit EV secara kenderaan dipasang sepenuhnya (CBU) pada tahun depan sebelum kemasukkan model EV dari versi pemasangan tempatan (CKD).
"Unit CBU ini datang dari segmen mewah untuk membiasakan pembeli dengan konsep EV sebelum memperkenalkan EV tempatan mula beroperasi pada 2017," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech Corp) Ir Ahmad Hadri Haris, berkata industri EV di Malaysia akan menerima lonjakan selepas pengenalan bas elektrik di Melaka.
"Pelaburan berjumlah RM50 juta itu membabitkan 40 buah bas elektrik, akan diperkenalkan di Melaka tidak lama lagi dan kemudiannya di Lembah Klang sebelum diperluaskan ke negeri-negeri lain," katanya.
- Sumber: Bernama
No comments:
Post a Comment