Saturday, 1 November 2014

Tiga bekas pelajar ke tali gantung

Tiga bekas pelajar KTAC dibawa keluar mahkamah selepas dijatuhi hukuman gantung sampai mati, semalam.

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas tiga bekas pelajar Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernatics (KTAC), Taman Maluri, semalam, selepas didapati bersalah membunuh pensyarah kolej itu, Zara Eleena, 23, dan bapanya, Omar Peter Abdullah, 56, dua tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Abdul Halim Aman terhadap Mohamad Zul Shahril Suhaimi, 22, Mohamad Sharafe Matt Noh, 21, dan Azizi Aizat Ibrahim, 22, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Dalam penghakimannya, Abdul Halim berkata, kemunasabahan keterangan saksi-saksi pendakwaan adalah meyakinkan dan wajar diterima berbanding keterangan semua tertuduh yang kabur dan penuh kesangsian.

Katanya, keterangan saksi selain saksi pertama pendakwaan, Fadhil Rushdan Rahman, 20, banyak dan terdapat lambakan bukti dalam kes itu.

“Pembunuhan ini penuh bermotif dan dengan niat. Mohamad Zul Shahril adalah ‘mastermind’ dalam pembunuhan dan barang kemas milik ibu mangsa jadi motif utama tertuduh membunuh mangsa,” katanya.

Beliau berkata, Zara Eleena dan bapanya menemui ajal dengan keseksaan dan menyedihkan.

“Apakah dosa mereka sehingga perlu dibunuh sebegitu rupa? Mohamad Zul Shahril adalah teman lelaki Zara Eleena walaupun dinafikannya.

“Hubungan itu dibuktikan melalui surat Zara Eleena kepada ibunya,” katanya.

Mohamad Zul Shahril, Mohamad Sharafe dan Azizi Aizat didapati membunuh dua beranak itu di sebuah rumah di Jalan TK 1/11, Taman Kinrara, Puchong di antara jam 1.30 dan 2.30 pagi, pada 8 dan 9 Mac 2012.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rosidah Abu Bakar dan bekas Timbalan Pendakwa Raya, Aidatul Azura Zainal Abidin, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Adhwa Azfar Muhammad Tajuddin, Rusli Zain dan Abdul Halem Mohamad Husin.

Seramai 32 saksi pembelaan dan tiga saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan bermula pada 10 Februari lalu.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment