Saturday, 1 November 2014

Doktor berjaya keluarkan bilah parang dari kepala seorang pemuda

Mangsa pada mulanya dibawa ke Klinik Kesihatan Kuala Tahan sebelum dirujuk ke Hospital Jerantut dan kemudian ke Hospital Sultan Ahmad Shah di Temerloh sebelum dihantar ke HTAA. - Foto Fail

KUANTAN: Seorang pemuda yang kepalanya tertusuk pangkal parang sedalam lima sentimeter yang tercabut ketika dia membersihkan semak di ladang Felcra Tembeling Tengah, Jerantut semalam dilaporkan stabil selepas menjalani pembedahan pada Jumaat.

Bagaimanapun Mohd Ridhuan Mat Sahor, 20, yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini masih tidak sedarkan diri selepas pembedahan bagi mengeluarkan pangkal parang itu.

Bapanya Mat Sahor Ahmad, 43, berkata anaknya menjalani pembedahan kira-kira pukul 8 malam tadi dan doktor menyatakan anaknya itu mungkin sukar untuk bercakap kerana satu daripada uratnya masih bengkak.

"Tetapi bahagian otaknya tidak mengalami sebarang masalah walaupun terkena sedikit pangkal parang itu dan penglihatannya juga tidak terjejas.

"Berkemungkinan dia perlu dirawat selama sebulan sebelum dibenarkan keluar," katanya ketika ditemui di sini, Jumaat.

Mat Sahor berkata anak sulungnya daripada lima beradik itu turut memaafkan rakan sekerja yang juga adalah kawan baiknya sejak kecil di atas kejadian itu dan menganggap ia sebagai tidak disengajakan.

"Anak saya sempat berpesan kepada saya sejurus selepas kemalangan itu supaya jangan marahkan rakannya yang dikenali sebagai Din. Berkali-kali dia berkata abah, jangan marah Din, dia tidak sengaja.

"Saya dan keluarga redha dengan apa yang terjadi dan anak saya pun sudah memaafkan rakan baiknya itu. Tiada apa lagi yang hendak diungkitkan kerana kawan dia sudah menyatakan kekesalannya sehingga menangis meminta maaf," katanya.

Mat Sahor berharap anaknya kembali sihat seperti biasa tambahan pula isteri anaknya sedang mengandung empat bulan.

Mohd Ridhuan terkena bilah parang parang itu milik rakannya selepas pangkalnya tiba-tiba tercabut dan melayang ke arah mangsa dan tertusuk di kepalanya.

Mangsa pada mulanya dibawa ke Klinik Kesihatan Kuala Tahan sebelum dirujuk ke Hospital Jerantut dan kemudian ke Hospital Sultan Ahmad Shah di Temerloh sebelum dihantar ke HTAA.

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment