POPULARITI Daniel Radcliffe atau lebih mesra disapa sebagai Dan meningkat dek peranannya sebagai hero sihir JK Rowling menerusi lapan filem Harry Potter yang kesemuanya mencatat kutipan pecah panggung.
Selepas tamat filem berkenaan. pemilik nama Daniel Jacob Radcliffe ini meluangkan lebih banyak masa memikirkan bagaimana filem itu telah mengubah kehidupannya sejak dia mula berlakon dalam siri filem berkenaan ketika berusia 11 tahun.

"Ia adalah pengalaman yang paling menarik dan mengagumkan dalam hidup saya. Setiap peluang yang datang dalam hidup saya disebabkan oleh lakonan saya itu dan saya amat bersyukur dapat berlakon dalam siri filem ini," katanya.


Dan kini terus bergiat aktif dalam bidang lakonan sehingga kini dan dijangka tampil dengan tiga filem termasuk Trainwreck, Victor Frankenstein dan Now You See Me: Now You Don’t.

Persoalannya sekarang ialah apakah filem Harry Porter memang benar-benar sudah berakhir kerana baru-baru ini, Rowling memberitahu dia ada menulis kesinambungan kisah berkenaan yang menceritakan kehidupan tiga karakter utama dalam Harry Potter saat mereka sudah berusia 30 tahun.

Mengenai kemungkinan akan ditawarkan kembali watak berkenaan, Dan menjawab:

"Sepertinya tidak (bermain sebagai Harry Potter). Apa yang saya faham ia adalah cerita yang sangat pendek dan saya tidak yakin ia akan diadaptasi ke filem.

"Malah, watak Harry itu juga digambarkan lebih 12 tahun tua dari usia saya sekarang," katanya yang turut memiliki kebolehan menyanyi.

Pelakon The Woman in Black ini mengakui suka menghafal lirik lagu rap sekali gus menyanyikannya.

"Saya sangat obses dengan lirik lagu yang rumit dan cepat. Ia macam penyakit.

"Saya sangat menyukai penyanyi rap, Eminem dan Plan B," katanya kepada Jimmy Fallon menerusi rancangan The Tonight Show.

Pakai tanduk?

Tinggalkan seketika watak hero sihirnya itu, aktor berusia 25 tahun ini bakal muncul dalam filem seram, Horns arahan Alexander Aja.

Selain Dan, filem adaptasi novel berjudul sama dari karya Joe Hill ini turut menampilkan pelakon berbakat besar seperti Max Minghella, Joe Anderson, Juno Temple, Kelli Garner, James Remar, Kathleen Quinlan dan Heather Graham.

Membawa watak sebagai Ignatius Ig Perrish, memerlukan Dan tampil dalam keadaan bertanduk sekali gus membuatkannya dirinya cukup teruja sehingga berjaya menimbulkan perasaan 'teransang'.

Bagaimanapun, 'teransang' yang dimaksudkan bukanlah membawa maksud kepada perkara negatif sebaliknya, Dan cukup suka dengan tanduk yang dipakainya itu.

"Saya sangat horny dalam filem ini. Saya fikir tanduk itu membuatkan penampilan saya sangat menarik. Mungkin ini akan menjadi satu trend baharu?" katanya.

Bukan itu saja, penampilannya itu turut disukai oleh teman wanitanya yang juga aktres, Erin Drake.


Horns mengisahkan seorang lelaki yang bernama Ig Perrish yang telah dituduh terlibat dalam kes rogol dan pembunuhan teman wanitanya Merrin Williams. Dengan kebolehan paranormal yang baharu ditemui dan dihadapinya, dirinya nekad untuk mencari siapakah pembunuh sebenar.


Apakah yang terjadi? Nantikannya di pawagam mulai 13 November ini.

- Sumber: Sinar Harian