CAMERON HIGHLANDS - Dua lagi mayat tragedi banjir kilat dan tanah runtuh di Cameron Highlands ditemui pagi tadi.
Mayat lelaki dan wanita warga Indonesia itu ditemui tertimbus sedalam kira-kira satu meter berhampiran lokasi kejadian di Lembah Bertam, kira-kira 11.05 pagi.
Ia kini menjadikan keseluruhan lima mangsa yang terkorban dalam kejadian Rabu lepas itu.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Wan Zahari Wan Busu berkata, kedua-dua mangsa merupakan pekerja kebun sayur di Sungai Kabok, yang dikenali sebagai Suwalis, 40, dan Yunita, 41.
Kedua-dua mayat ditemui dalam keadaan masih berselimut.
"Kita percaya mangsa sedang tidur ketika kejadian tanpa menyedari berlaku tanah runtuh dari atas mereka," katanya di pusat kawalan operasi dan bencana di Lembah Bertam hari ini.
Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Hajah Kalsom di Tanah Rata untuk dibedah siasat.
Sementara itu operasi mencari dan menyelamat dihentikan sejak tengah hari tadi setelah pihak polis membuat penggeledahan di lokasi kejadian.
"Kita setakat ini mengesahkan tiada lagi mangsa dalam kejadian tanah runtuh ini. Bagaimanapun pusat kawalan operasi bencana akan terus dibuka di Lembah Bertam bagi memantau keadaan cuaca dan pelepasan air yang mungkin berlaku lagi sekiranya hujan turun petang ini," kata Wan Zahari.
Kejadian itu turut mengorbankan seorang pelajar lelaki R. Punesh, 13, yang ditemui lemas di Sungai Terlom, Kampung Raja; seorang pekerja kebun sayur warga Indonesia yang dikenali sebagai Anipan, 48, yang ditemui tertimbus di Lembah Bertam.
Seorang lagi mangsa ialah seorang pekerja kebun sayur warga Nepal, Md Yousuf Miya, 66, yang tertimbus di Jalan Ulu Merah, Ringlet.
- Sumber: Bernama
No comments:
Post a Comment