Sunday, 16 November 2014

Martin Wildauer dinobat Badang dunia


Martin mengenepikan 13 peserta lain dari pelbagai negara. - Foto Astro AWANI/Harits Asyraf Hasnan


KUALA LUMPUR: Martin Wildauer dari Austria dinobatkan sebagai Lelaki Paling Gagah Di Dunia pada Sabtu selepas mengharungi pelbagai cabaran dalam 25 kejohanan.

Dalam Pertandingan Akhir Strongman Champions League 2014 yang julung kali berlangsung di Malaysia, Martin mengenepikan 13 peserta lain dari pelbagai negara.

Menurut Martin, kesemua tujuh cabaran pusingan akhir yang berlangsung dua hari bermula Jumaat adalah paling mencabar sepanjang penyertaan beliau.

Katanya, dengan kecederaan di bahagian betis selain keadaan cuaca yang hujan sedikit sebanyak menggugat momentumnya pada kejohanan itu.

“Bagi saya ini adalah yang paling mencabar disebabkan cuaca, kelembapan. Sememangnya lain daripada Eropah. Pastinya sebab kecederaan saya menjadikannya lebih mencabar.

“Semua orang saling membantu termasuk peserta. Anda boleh lihat kami ketawa dan itu adalah semangat dalam sukan ini.

“Sejujurnya, jika kita inginkan sesuatu, kita perlu terus lakukannya dan anda dapat lihat sekarang,” katanya.

Antara cabaran yang perlu dilakukan adalah menarik bas, mengangkat kereta, mengangkat beban 200 kg dan pusingan akhir adalah menarik lori seberat 18,000 kg.

Martin membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM50,000.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Normah Malik.

- Sumber: Astro Awani

No comments:

Post a Comment