Sunday, 16 November 2014

Fosil dinosaur berusia hingga 65 juta tahun ditemui di Hulu Terengganu

Sekumpulan penyelidik dan pensyarah beberapa universiti menemui fosil dinosaur termasuk tapak kaki, tulang dan gigi di Gunung Gagau, Hulu Terengganu dalam satu ekspedisi bulan lalu.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman, ketika dipetik portal Berita Harian, berkata penemuan membanggakan itu adalah hasil ekspedisi yang dinamakan Ekspedisi Gagau-Menjejak Dinosaur 2014.

Ekspedisi yang dianggotai pensyarah dan penyelidik beberapa universiti tempatan bersama Jabatan Perhilitan dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) itu berlangsung pada 13 hingga 23 Oktober lalu di bawah penganjuran Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia serta Kumpulan Warisan Geologi.

Antara pusat pengajian tinggi yang terlibat ialah Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Teknologi Petronas dan Universiti Malaysia Kelantan.

Fosil dinasour spesies Iguanodontid yang ditemui di Hulu Terengganu - Gambar Wikipedia


Fosil dinosaur spesies Sauropod yang ditemui di Hulu Terengganu - Gambar Wikipedia


Fosil dinosaur spesies Theropod yang ditemui di Hulu Terengganu - Gambar Wikipedia


Katanya, ekspedisi itu membawa kepada penemuan fosil gigi, kesan tapak kaki dan tulang dinosaur spesies Theropod, Iguanodontid dan Sauropod di Sungai Chichir, Tasik Kenyir.

Selain itu, turut ditemui fosil tumbuhan, kayu terpetri dan singkapan batu arang di Sungai Pertang.

"Alhamdulillah, selepas berpenat lelah meredah hutan dan mendaki gunung dalam keadaan cuaca tidak menentu, akhirnya kita menemui penemuan yang menggembirakan.

"Kita sebagai rakyat Terengganu gembira dan bersyukur dengan penemuan ini dan ini akan memberi nilai tambah ke arah usaha kita mewujudkan Geopark Tasik Kenyir," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Datuk Yunus Abd Razak, berkata penemuan itu adalah yang pertama di Malaysia.

Beliau berkata, fosil yang dianggarkan berusia lebih 200 tahun hingga 65 juta tahun itu, membuktikan kewujudan dinosaur di negeri ini satu masa dulu.

"Dua fosil gigi yang ditemui dianggarkan bersaiz 1.5 sentimeter (sm), manakala tapak kaki berukuran lebih 15 sm dan tulang yang tertanam di dalam bongkah batu," katanya.

Beliau berkata, dinosaur spesies Iguanodintid dan Sauropod memakan tumbuhan, manakala Therapod adalah dinosaur pemangsa yang memakan daging.

- Sumber: Astro Awani

No comments:

Post a Comment