KUANTAN - Seorang lelaki yang memandu dalam keadaan mabuk merempuh papan tanda pemeriksaan polis sebelum melanggar belakang sebuah kenderaan lain di Kilometer 13 Jalan Pekan-Kuantan berhampiran Pekan awal hari ini.
Ketua Polis Daerah Pekan Supritenden Yahaya Othman berkata sebelum kejadian pada 2.40 pagi, dua anggota yang sedang membuat pemeriksaan terhadap seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda terdengar bunyi rempuhan sebelum melihat Proton Wira dipandu lelaki itu melanggar papan tanda pemeriksaan polis di kiri jalan.
"Sejurus melanggar papan tanda itu, lelaki itu masuk semula ke laluan asal namun melanggar pula belakang kenderaan pacuan empat roda yang sedang berhenti menjalani pemeriksaan polis," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Bagaimanapun, lelaki berusia 40 tahun yang berasal dari Perak dan bekerja di sebuah kilang di Pekan itu tidak mengalami sebarang kecederaan begitu juga dengan pemandu kenderaan pacuan empat roda yang berusia 50 tahun itu.
Yahaya berkata semakan awal mendapati lelaki itu tidak memiliki rekod jenayah lampau namun polis menahannya kerana didapati memandu dalam keadaan mabuk serta membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain.
- Sumber Bernama
No comments:
Post a Comment