DIKURNIAKAN cahaya mata yang bijak dan comel menjadi rezeki tidak ternilai buat penyanyi popular, Tomok dan isterinya, Rahayu Abas.
Mana tidaknya, putera pertama pasangan ini, Arrian Shah Akid, 3 sentiasa menjadi perhatian masyarakat menerusi laman Instagram kerana keletahnya yang mencuit hati.
Gembira dengan perkara itu, Tomok mengakui tidak kisah jika ada yang mengatakan anaknya lebih popular.
“Sebenarnya ia tidak menjadi satu masalah buat saya. Budak kecil memang comel dan sebagai seorang ayah, saya gembira kerana ramai yang mengenalinya.
“Tapi tidaklah saya menumpang popularitinya. Apa yang saya peroleh hari ini atas hasil usaha keras sendiri,” katanya sambil tertawa ketika di temui pada majlis pelancaran album keduanya, Aku Datang di kafe Hard Rock, Kuala Lumpur semalam.
Bagaimanapun, Tomok atau nama sebenarnya Shah Inderawan Ismail, 30, tidak mahu terlalu memberi pendedahan kepada anaknya yang masih kecil.
“Memang sebelum ini kami banyak terima sesi fotografi, tapi saya terpaksa tolak dengan cara baik.
“Saya rasa belum masanya untuk dia diberi pendedahan yang terlalu besar ke arah itu kerana dia masih kecil dan biarlah Arrian jalani kehidupan dan membesar seperti kanak-kanak lain,” ujarnya yang turut teruja menantikan kelahiran cahaya mata dalam kandungan isterinya yang kini berusia lima bulan.
Sementara itu, bercerita mengenai buah tangan terbaharunya Aku Datang, Tomok bersyukur kerana dua lagu daripada album ini telah mendapat tempat di hati pendengar.
“Sebenarnya album ini keluar selepas empat tahun album pertama dikeluarkan iaitu pada 2010.
“Alhamdulillah, saya gembira dengan penghasilan album kali ini. Biarpun ambil masa yang lama, tapi saya berpuas hati,” katanya.
Pada masa sama, Tomok bakal menjelajah ke berada di beberapa lokasi terpilih di seluruh negara sebagai rangka promosi album keduanya itu.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment