Thursday, 30 October 2014

Kilang proses ais kotor di Pulau Pinang

Kilang proses ais kotor di Pulau Pinang ditutup.

PERAI: Sebuah kilang memproses ais di Taman Nagasari di sini diarah tutup selama 14 hari selepas didapati mengabaikan aspek kebersihan dan gagal mematuhi arahan yang dikeluarkan Jabatan Kesihatan Pulau Pinang.

Timbalan Pengarah Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Jabatan Kesihatan Pulau Pinang Ku Nafishah Ku Ariffin berkata dalam satu pemeriksaan yang dilakukan, pihaknya mendapati keadaan kilang terbabit sangat kotor dan tidak diselenggara dengan baik.

“Keadaan sanitasinya kurang memuaskan. Daripaga gambar yang didapati, memang tahap kebersihan tidak memuaskan, termasuk lantai, dinding dan kebersihan persekitaran.”

“Penilaiannya di bawah 31. Asalkan di bawah 65, kita akan tutup premis terbabit. Lantainya berlumut, sinki pun pecah dan silingnya bersawang,” kata Ku Nafishah.

Berikutan itu, kilang ais terbabit perlu mematuhi arahan penutupan dan membersihkan premis dalam tempoh 14 hari dan sekiranya gagal, tempoh penutupan akan dilanjutkan.

Tambah Ku Nafisah, pihaknya mendapati ada segelintir kilang ais dikenalpasti beroperasi tanpa lesen.

Ujarnya, dalam operasi yang dilakukan di kilang ais di seluruh Pulau Pinang itu, sebanyak 20 premis memproses ais telah diperiksa dan pihaknya mendapati 18 daripadanya tidak memiliki lesen manakala hanya dua premis mempunyai lesen yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sebanyak sembilan notis dikeluarkan ke atas premis kilang ais kerana melanggar syarat di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 membabitkan nilai kompaun bernilai RM22,500 dan lapan nilai kompaun oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai berjumlah RM1,900.

Operasi itu dijalankan di kilang memproses ais bagi memastikan penyediaan yang dilakukan disempurnakan dengan betul dan bersih selain premis kilang ais memiliki lesen yang dikeluarkan KKM.

Operasi premis makanan itu membabitkan sepasukan 65 pegawai, termasuk anggota Jabatan Kesihatan Negeri, MPPP dan MPSP.

Dalam pada itu, Ku Nafisah berkata operasi akan diteruskan dari masa ke semasa bagi memastikan kebersihan premis makanan di negeri itu memuaskan .

- Sumber: Astro Awani

No comments:

Post a Comment