Monday, 20 October 2014

Pesawat bawa 14 warga Malaysia berpatah balik 45 minit selepas berlepas

Pesawat American Airlines terpaksa berpatah balik selepas 45 minit berlepas dari Lapangan Terbang JFK disebabkan masalah teknikal. -Gambar fail

NEW YORK: Pesawat American Airlines Penerbangan AA104 terpaksa berpatah balik selepas 45 minit berlepas dari Lapangan Terbang John F.Kennedy (JFK) pada kira-kira 9 malam Sabtu (9 pagi Ahad waktu Malaysia) disebabkan masalah teknikal.

Pesawat itu, yang dalam perjalanan ke London, turut dinaiki 14 warga Malaysia termasuk enam wakil media, setiausaha akhbar Menteri Luar Datin Nirvana Jalil Ghani serta pegawai Kementerian Luar.

Enam wakil media berkenaan ialah pengarang Radio Televisyen Malaysia (RTM) Wan Lukman Mohd Fisol dan jurukamera Mohamad Zamzy Othman, wartawan Utusan Malaysia Kasthuri Jeevan, wartawan Sabah Times Zulhayati Dzulkfli, wartawan Daily Express Fiona serta jurukamera TV3 Sabah, Fairuz Yazer.

Kesemua mereka berada di New York sejak 14 Okt lepas kerana bertugas dan membuat liputan proses pengundian bagi Kerusi Tidak Tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) yang menyaksikan Malaysia dipilih mewakili kategori Asia Pasifik.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman menghadiri sesi itu.

Mohamad Zamzy, yang dihubungi Bernama melalui “Facebook Message”, berkata mereka terkejut selepas juruterbang memaklumkan penerbangan itu terpaksa berpatah balik ke JFK berikutan masalah teknikal pada pesawat berkenaan.

“Selepas berpatah balik, kami terpaksa menunggu kira-kira 2 jam untuk kerja-kerja baik pulih sebelum dibenarkan menaiki pesawat sama ke London.

Mengikut jadual penerbangan awal, kami sepatutnya tiba di London pada 8.50 pagi waktu London. Kami baru sahaja tiba pada kira-kira 2.30 petang waktu London.

“Kami terlepas penerbangan berikutnya dengan Malaysia Airlines (MAS) ke Kuala Lumpur dan berusaha mendapatkan penerbangan seterusnya untuk pulang. Buat masa ini belum tahu lagi bila berlepas pulang,” katanya.

Sementara itu, Kasthuri yang mengemas kini status Facebook menulis “penerbangan kami berpatah balik selepas 45 minit penerbangan...".

Flightaware.com, yang memuat turun jadual penerbangan seluruh dunia, menyatakan pesawat penerbangan AA104 tiba lewat di London dalam tulisan berwarna berbanding warna hijau seperti biasa.

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment