Dengan penampilan cukup sederhana Jokowi disifatkan sebagai pemimpin berjiwa rakyat.
Joko Widodo atau lebih mesra dikenali dengan nama timangannya, Jokowi dilahirkan di Solo, Jawa Tengah, Indonesia pada 21 Jun, 1961.
Beliau dibesarkan di sebuah pondok buluh di Pulau Jawa sebagai rakyat biasa, sehingga menjadi ahli politik yang disukai ramai.
Kini, Jokowi bakal menjadi Presiden Indonesia yang ketujuh. Dengan penampilan cukup sederhana Jokowi disifatkan sebagai pemimpin berjiwa rakyat.
Anak kepada pasangan Noto Mihardjo dan Sujiatmi Notomiharjo itu, mendapat ijazah pertama dari Fakulti Kehutanan Universiti Gadjah Mada, dan seterusnya menjadi pengusaha perabut.
Karier politiknya bermula pada tahun 2005 apabila beliau dilantik sebagai Datuk Bandar Solo yang ke-16.
Semasa menjalankan tugas sebagai Datuk Bandar Solo, Jokowi amat terkenal dengan sifat mesra rakyat membuatkan ramai yang menyenangi kepimpinannya.
Antara kejayaan beliau termasuk mempromosikan Solo sebagai pusat kebudayaan Jawa dan pelancongan, perniagaan dan program insurans untuk rakyat.
Ketika mentadbir, Jokowi mengangkat prinsip ketelusan dan integriti dengan melarang ahli keluarganya daripada membida untuk apa sahaja projek pembangunan bandar.
Pada tahun 2012 pula, Jokowi dilantik pula sebagai gabenor Jakarta yang ke-15.
Beliau konsisten dengan pendekatan mesra rakyat termasuk lawatan mengejut untuk mendengar masalah dan isu setempat.
Gadingan Jokowi dengan timbalannya, Basuki Tjahaja Purnama atau lebih dikenali sebagai Ahok, dikatakan gadingan yang amat serasi.
Menurut laman bisnis.com, Jokowi mengaku bahawa beliau tidak pernah bermimpi menjadi seorang pemimpin, apatah lagi menjadi seorang presiden.
Kata Jokowi, ini kerana suatu ketika dahulu beliau pernah hidup susah. Namun kata beliau, seseorang yang miskin tidak bermakna dia boleh mempunyai mimpi atau cita-cita.
Namun, disebabkan hidupnya yang susah itulah yang mendorong dirinya untuk membantu meningkatkan pertumbuhan kawasan yang dipimpinnya.
Malah di Jakarta, Jokowi meneruskan polisi termasuk program kesihatan menyeluruh, program pendidikan untuk anak-anak miskin serta penambahbaikan pengangkutan awam.
Selain daripada itu, beliau turut menekankan kepada ketelusan sistem pengurusan kewangan wilayah dan program tebatan banjir.
Kepimpinannya mendapat perhatian Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) dan Megawati Sukarnoputri memberikan mandat menyokong pelantikan Jokowi sebagai calon presiden Indonesia.
Jokowi, bersama calon naib presiden Jusuf Kala diisytiharkan sebagai pemenang dalam Pilihanraya Presiden Indonesia (Pilpres 2014) pada 22 Julai dengan kemenangan 53 peratus undi popular menentang calon presiden Prabowo Subianto dari Parti Gerindra.
Sepanjang karier politiknya, Jokowi menerima beberapa anugerah termasuk Datuk Bandar ketiga terbaik dunia atas usaha transformasi Solo sebagai pusat budaya serta pelancongan.
Selain itu, beliau turut tersenarai antara 50 pemimpin utama dunia oleh majalah Fortune pada 2014.
- Sumber: Astro Awani
No comments:
Post a Comment