MELAKA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun menahan kesakitan kira-kira 30 minit setelah kepalanya tersepit pada besi katil dua tingkat di rumahnya di Balai Panjang di sini pada Isnin.
Ibunya Rafidah Anuar, 33, berkata ketika kejadian kira-kira 2.50 petang itu, Muhammad Amirul Syahir Amir Hamzah sedang bermain bersama-sama abangnya Muhammad Amirul Syafiq, 6, di sebuah bilik di rumahnya.
"Ketika itu, saya berada dalam tandas sebelum bergegas keluar apabila mendengar tangisan dan jeritan... saya melihat kepala anak saya tersepit antara besi katil dua tingkat itu," katanya ketika dihubungi Bernama.
Rafidah berkata beliau cuba mengeluarkan kepala anak bongsunya itu yang tersepit namun gagal sebelum menghubungi bomba.
Pegawai Kanan Bomba II Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Ibrahim Salleh berkata pihaknya menerima panggilan pada 3.03 petang dan tiba 14 minit kemudian dengan sebuah jentera dan satu unit Perkhidmatan Respons Perubatan Kecemasan (EMRS) bersama-sama 10 anggota.
Beliau berkata anggota bomba terpaksa memotong satu daripada batang besi pada katil tingkat atas untuk menyelamatkan kanak-kanak itu pada 3.21 petang.
"Mangsa tidak cedera," katanya.
- Sumber: Bernama
No comments:
Post a Comment