Bebanan kos makanan ikan yang meningkat telah menyebabkan kebanyakan penternak berusaha mencari pelbagai sumber makanan alternatif yang lebih murah. - Gambar Hiasan
JELEBU: Jabatan Perikanan dari semasa ke semasa mengambil sampel ikan keli dan patin yang diternak untuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi memastikannya bebas DNA babi.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Pertanian Datuk Ismail Abu Hassan berkata jika ujian mendapati ia positif DNA babi, jabatan akan mengeluarkan arahan melarang penjualan ikan berkenaan kepada orang Islam.
"Kita berharap kejadian (ikan patin dan keli didakwa diberi makan seperti bangkai dan organ dalam babi) yang dilaporkan berlaku di Perak dan Selangor baru-baru ini dapat dielakkan.
"Kes (dakwaan) sebegini jika tidak ditangani akan memberikan impak yang besar dan mendalam kepada persepsi pengguna terhadap ikan keli dan patin yang akhirnya menjejaskan pasaran hasil semua penternak di negara ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Dan Pameran Ikan Keli 2014 di Institut Penyelidikan Perikanan Glami Lemi di sini pada Isnin.
Turut hadir Pengarah Kanan Institut Penyelidikan Perikanan Abu Talib Ahmad dan Pengarah Perikanan Negeri Sembilan Tengku Balkis Tengku Shahar.
Ismail berkata bebanan kos makanan ikan yang meningkat telah menyebabkan kebanyakan penternak berusaha mencari pelbagai sumber makanan alternatif yang lebih murah.
Bagaimanapun, katanya penternak perlu prihatin dan sensitif terhadap aspek suci dan halal serta kesan terhadap alam sekitar.
Konvensyen yang pertama kali diadakan itu berlangsung selama dua hari mulai hari ini dengan 300 penyertaan dari seluruh negara. Sempena konvensyen itu turut diadakan pameran produk dan jualan produk berkaitan ikan keli dan patin.
Ismail berharap konvensyen ini akan menjadi platform bagi setiap pihak yang hadir mendapat input dan maklum balas daripada pihak industri terhadap program dan perancangan jabatan pada masa akan datang.
Katanya jabatan akan terus menganjur program sebegini untuk mendapatkan pandangan daripada semua pihak relevan agar dapat merumuskan dasar yang dapat mencapai matlamat kerajaan untuk meningkatkan pendapatan kumpulan sasar.
- Sumber: Bernama
No comments:
Post a Comment