“KAMI boleh minta apa yang kami nak dan sudah tentu kami mahukan doktor perempuan menguruskan proses bersalin saya nanti,” ujar pelakon jelita, Rozita Che Wan kepada Zass ketika dihubungi menerusi aplikasi Whatsapp, Khamis lalu.
Rozita yang mesra disapa Che Ta ini berkata, dia sangat bersyukur dan menganggap semuanya rezeki anak apabila pihak Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri sudi menaja urusan bersalinnya.
“Saya telah pun menjalani rawatan di hospital tersebut dan Jumaat lalu merupakan kali kedua saya menjalani rawatan di sini.
“Bukan setakat ditaja tetapi layanan yang mereka berikan sangat baik dan ianya membuatkan kami benar-benar teruja,” kata cinta hati pelakon Zain Saidin ini.
Berkongsi lanjut, ujar ibu kepada Ammar Effendy, 18, dan Aniq Ezzra, 16, ini, dia pernah menggunakan khidmat Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri ketika melahirkan kedua-dua anak lelakinya itu.
“Malah ketika mereka bersunat pun, ia dilakukan di situ juga. Bezanya kali ini saya mendapat tajaan pihak hospital,” katanya menerima tajaan bersalin kelas pertama dari hospital terbabit.
Che Ta yang dijangka sedang menunggu masa bersalin sebenarnya tidak menyangka pihak hospital sudi menaja segala kos bersalin dan rawatan susulan kepadanya.
“Sedikit sebanyak wang perbelanjaan bersalin yang disimpan bolehlah dilaburkan untuk kegunaan membesarkan anak ini nanti,” katanya yang berdebar menanti kelahiran anak pertama hasil perkahwinannya bersama Zain.
Dalam pada itu, Che Ta juga berharap semuanya berjalan lancar dan dia selamat melahirkan bayi ketiganya itu.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment