Tuesday, 16 September 2014

Salamiah Hassan tak sabar bergelar nenek!

Salamiah Hassan

SEIRING dengan usianya yang sudah mencecah 63 tahun, penyanyi veteran, Salamiah Hassan melahirkan rasa terujanya untuk menimang cucu sementelahan anak perempuannya, Atilia Haron telah selamat bernikah buat kali kedua dengan jurutera bunyi, Adam Sofian Mazlan, pada 31 Ogos lalu.

Bahkan, jejak Atilia itu turut diikuti adiknya, Raja Ahmad Shah yang juga bakal menamatkan zaman bujangnya pada 10 Januari depan.

"Di kala usia sudah mencecah 60-an, saya sudah tidak sabar mahu bergelar nenek apatah lagi semua anak kepada rakan-rakan anak saya memanggil saya dengan gelaran demikian.

"Saya tidak kisah kerana saya tahu di usia sebegini memang itulah panggilan yang harus saya terima. Tapi, jika saya betul-betul bergelar nenek, saya lagi gembira.

"Justeru, di antara keduanya, siapa yang dapat memberikan cucu kepada saya dulu, saya tersangat-sangatlah bersyukur," katanya sambil bergurau kepada Zass ketika ditemui selepas pelancaran Licence to Thrill: A Bond Concert.

Pada masa sama, pelantun lagu Gelombang itu turut melahirkan rasa syukurnya apabila Atilia telah selamat bernikah sekali lagi.

Sebelum ini, penyanyi jaz itu pernah mendirikan rumah tangga dengan Ariff Johan Abdul Aziz pada 18 Disember 1998 dan mereka bercerai pada Januari 2009.

"Saya sangat gembira dengan perkahwinan ini apatah lagi Atilia sudah lama mengenali Adam.

"Lagi pun, saya selalu menanti-nantikan saat-saat bahagia ini,” katanya.

Mengulas mengenai majlis pernikahan anaknya yang hanya dihadiri keluarga dan kenalan rapat pasangan pengantin, Salamiah ternyata ada jawapannya sendiri. 

"Kami bukannya tidak mahu menguar-uarkan, cuma kita tak tahu apa akan jadi pada masa depan.

"Bagi saya, apa yang paling penting adalah nikah kerana itu adalah perkara yang perlu diberi keutamaan.

"Selepas ini, semuanya berserah kepada ALLAH SWT dan saya akan terus mendoakan yang terbaik untuk Atilia," katanya.

-- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment