Tuesday, 16 September 2014

Perodua Axia bukan ganti Viva

Muhyiddin bersama Aminar Rashid (kiri) ketika melancarkan kereta baharu Perodua Axia di Kuala Lumpur, semalam. - FOTO: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Muhyiddin bersama Aminar Rashid (kiri) ketika melancarkan kereta baharu Perodua Axia di Kuala Lumpur

PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) tidak akan menggantikan pengeluaran Viva dengan Axia secara komersil selagi ada permintaan terhadap model tersebut.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, Axia berbeza dari Viva kerana ia merupakan model baharu serta dikeluarkan di kilang baharu.

“Tetapi secara teknikal Axia akan menggantikan Viva sekiranya permintaan terhadap model tersebut semakin berkurangan.

“Buat masa ini, kami masih mengeluarkan Viva memandangkan ada permintaan dari pengguna domestik dan juga beberapa negara yang masih mahu mengimport Viva,” katanya.

Sementara itu, Perodua juga optimis sebanyak 30,000 unit Axia akan dijual sehingga hujung tahun ini memandangkan tempahan diterima sehingga semalam 13,500 unit.

“Sejak tempahan dibuka kepada orang ramai pada 15 Ogos lalu kami menerima tempahan 500 hingga 600 unit Axia sehari dan dengan pelancaran ini jumlah tersebut bakal bertambah.

“Situasi ini juga dilihat dapat meningkatkan penguasaan pasaran Perodua dari 28.8 peratus sehingga kini kepada 30 peratus menjelang hujung tahun ini,” katanya.

Menurutnya, daripada 13,500 unit Axia ditempah, 50 peratus daripadanya adalah Varian Standard G bagi transmisi manual dan automatik.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia melalui Dasar Automatif Nasional (DAN) 2014 menjadikan negara sebagai hub Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) dapat direalisasikan dengan pelancaran Perodua Axia.

Muhyiddin berkata, pelaburan secara berterusan oleh Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) dilihat sebagai salah satu pemacu dalam mencapai sasaran tersebut.

“EEV di Malaysia bukan sahaja memberi tumpuan kepada kenderaan cekap tenaga tetapi merangkumi keseluruhan kitaran hijau automatif dan merubah industri ke arah mampan.

“Model baru Axia akan meletakkan satu penanda aras yang baharu kepada terma kualiti, pengurusan kos serta produktiviti dalam pasaran EEV negara,” katanya pada Majlis Perasmian Perodua Axia di Kuala Lumpur, semalam.

Menurutnya, harapan rakyat Malaysia untuk melihat jenama Perodua muncul sebagai pemain utama industri dikenali peringkat global.

“Axia menawarkan kereta yang mempunyai reka bentuk ringkas, bergaya serta menggabungkan fungsi secara praktikal, malah mesra alam dan ditawarkan pada harga berpatutan.

“Saya turut berharap model Axia ini akan di pasarkan ke rantau Asian dalam masa terdekat memandangkan Perodua menghasilkan kereta yang diperlukan oleh pasaran,” katanya.

Didatangkan dengan empat varian Standard E, Standard G, Special Edition (SE) dan Advanced, Axia boleh didapati dengan lapan warna Ivory White, Glittering Silver, Ebony Black, Moonlight Blue, Cherry Blossom, Lemon Grass Green, Sunflower Yellow and Lava Red pada harga serendah RM24,600 hingga RM42,530.

Perodua turut mengumumkan pertambahan waranti kepada lima tahun bagi dua model iaitu Myvi dan Alza bermula hari ini.

-- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment