KUALA LUMPUR - Seorang ekspatriat warganegara Australia ditemui mati tergantung dalam rumahnya di Jalan Mont Kiara 1, di sini, menurut polis.
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah berkata, pengarah urusan sebuah syarikat pengeluar makanan berumur 40-an itu ditemui tergantung dalam bilik tidurnya oleh pembantu rumahnya pada jam 6.45 petang semalam.
"Kira-kira jam 8 malam, polis tiba di alamat berkenaan dan menemui lelaki itu mati dengan kabel elektrik di lehernya di dalam sebuah bilik," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Katanya, polis juga menemukan sepucuk nota, dipercayai ditulis oleh lelaki terbabit kepada anak dan isterinya yang tinggal di Belanda.
"Nota itu bersifat peribadi dan polis tidak dapat mendedahkannya," katanya.
Muhammad Azlee berkata kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan telah dimaklumkan kapada Suruhajaya Tinggi Australia.
Katanya, mayat dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat. - Bernama
No comments:
Post a Comment