Tuesday, 15 July 2014

'Wall Of Fame' dan 'Wall of Shame' sepanjang Piala Dunia 2014

Jaringan minit ke 113 pada masa tambahan oleh pemain gantian, Mario Gotze sudah cukup untuk membawa Jerman memenangi Piala Dunia 2014 buat kali keempat menewaskan Argentina dengan jaringan 1-0.

Sehari sebelum itu pula, Belanda menambahkan lagi aib buat tuan rumah, Brazil apabila menewaskan mereka dengan jaringan 3-0 hasil jaringan Robin van Persie, Daley Blind dan Georginio Wijnaldum untuk menempatkan diri sebagai pasukan ketiga terbaik dalam kempen Piala Dunia kali ini.

Hampir sebulan kejohanan bola sepak terbesar dunia ini berlangsung dan pelbagai insiden atau peristiwa yang pasti akan menjadi ingatan dalam lipatan sejarah Piala Dunia.

Disini dirangkumkan sebahagian daripada beberapa ‘moment’ yang dimuatkan dalam ‘Hall of Fame’ dan ‘Hall of Shame’ Piala Dunia.

HALL OF FAME

1. Tandukan ala ‘Superman’ Robin van Persie

Robin van Persie (Sumber: AP)

Belanda sekali lagi diberi peluang untuk menebus kembali kekalahan kepada Sepanyol pada final Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan dan Robin van Persie yang merupakan kapten Belanda untuk kempen Piala Dunia kali ini diletakkan harapan untuk menjaringkan gol.

Belanda yang ketinggalan 0-1 pada satu ketika cuba melakukan asakan balas dan pemain pertahanan, Daley Blind yang ternampak Arjen Robben dan Robin van Persie berada diatas bertindak membuat hantaran tinggi.

Pemain Sepanyol yang menyangka bola tersebut dihala kepada Robben namun van Persie lebih ke hadapan untuk melakukan tandukan terbangnya itu menewaskan penjaga gawang Sepanyol, Iker Casillas dan golnya itu menjadi antara gol terbaik Piala Dunia.

2. Prestasi Costa Rica yang mengejutkan

Costa Rica (Sumber: AP)

Pasukan Amerika Tengah ini tidak langsung diletakkan sebarang harapan untuk layak ke peringkat kalah mati apatah lagi apabila diletakkan dalam satu kumpulan bersama-sama dengan tiga bekas Juara Piala Dunia iaitu Itali, Uruguay dan England.

Namun, kredibiliti pasukan gergasi dan bekas Juara Piala Dunia itu tidak sedikit pun menggentarkan Costa Rica apabila melakukan kejutan demi kejutan sepanjang Piala Dunia kali ini.

Bermula dengan menewaskan Uruguay 3-1, kemudian mengejutkan Itali 1-0 sebelum seri tanpa jaringan dengan England sudah cukup untuk membawa pasukan bergelar ‘Ticos’ itu untuk melangkah bergaya ke peringkat kalah mati.

Di peringkat kalah mati pula, mereka berdepan dengan Juara Euro 2004 iaitu Greece dan perlawanan terpaksa diheret ke penetuan sepakan penalti setelah terikat 1-1 dan Costa Rica berjaya memenangi sepakan penalti dengan keputusan 5-3 dan bertemu naib Juara Piala Dunia sebanyak tiga kali, Belanda di peringkat suku akhir.

Suku akhir, skrip yang sama juga ditampilkan dengan penjaga gol Costa Rica, Keylor Navas menjadi wira dengan mengekang segala asakan bertubi-tubi pemain Belanda seperti Robin van Persie, Arjen Robben dan Wesley Sneijder dan perlawanan sekali lagi terpaksa ditentukan melalui sepakan penalti.

Namun, ketangkasan penjaga gol gantian Belanda, Tim Krul mengagalkan sepakan Bryan Ruiz dan Micheal Umena menguburkan impian Costa Rica untuk melangkah lebih jauh dalam Piala Dunia. Namun, pencapaian skuad ini sangat mengejutkan membanggakan dunia.

3. Gol terpantas Clint Dempsey

Clint Dempsey (Sumber: AP)

Ketika sepak mula baru dilakukan dan permainan baru hanya 30 saat, penyerang Amerika Syarikat, Clint Dempsey yang menerima bola hantaran daripada Jermaine Jones berjaya memperdayakan pertahanan Ghana, John Boyle sebelum merembat menewaskan penjaga gol, Adam Kwarasey untuk gol pertama Amerika Syarikat.

Amerika Syarikat menang 2-1 pada perlawanan itu dan gol Dempsey itu merupakan gol kelima terpantas dalam sejarah Piala Dunia.

4. Kegigihan Algeria menghadapi Jerman

Algeria (Sumber: AP)

Wakil benua Afrika, Algeria berjaya melepasi halangan peringkat kumpulan sebagai naib juara Kumpulan H dibelakang Belgium dan terpaksa menghadapi Jerman pada peringkat kalah mati.

Reputasi Jerman sebagai antara pemenang Piala Dunia dan gergasi Eropah tidak sekalipun menggentarkan Algeria yang mahu mengulangi kejutan menewaskan pasukan itu pada Piala Dunia 1982.

Jerman mengasak bertubi-tubi barisan pemain Algeria namun ketangkasan benteng terakhir di pintu gol Algeria, Rais M’Bolhi yang ketika itu berpuasa menidakkan pelbagai cubaan berbahaya daripada Thomas Muller, Mario Gotze dan Toni Kroos melelahkan sedikit sebanyak serangan Jerman.

Perlawanan terpaksa diteruskan ke masa tambahan dan Gotze dikeluarkan dan digantikan oleh Andre Schurrle yang setelah berhempas pulas akhirnya berjaya memecahkan kebuntuan pada minit ke-92 untuk jaringan pertama Jerman dan Jerman menang 2-1 pada perlawanan itu.

Rais M’Bolhi dianugerahkan sebagai ‘Man-of-The Match’ pada perlawanan itu.

5. Gol ke 16 buat Miroslav Klose

Miroslav Klose (Sumber: AP)

Pemain Jerman kelahiran Poland, Miroslav Klose merupakan penyerang veteran dalam skuad Jerman pada Piala Dunia 2014 dan kemasukkan Klose ke dalam skuad Jerman menimbulkan banyak keraguan dan pertanyaan daripada peminat bola sepak.

Namun, pemain berusia 36 tahun itu membuktikan bahawa usia bukanlah penghalang untuk mencipta sejarah apabila pada perlawanan separuh akhir bertemu tuan rumah, Brazil, Klose menjaringkan gol kedua Jerman dan gol ke-16 sepanjang penyertaanya dalam Piala Dunia.

Malah, tambah manis apabila pada perlawanan itu Jerman membelasah teruk Brazil 7-1 untuk layak ke peringkat akhir.

Pemain yang bermain dalam empat Piala Dunia pada tahun 2002, 2006, 2010 dan 2014 ini pernah menjadi penjaring terbanyak pada PIala Dunia 2006 di tanah airnya sendiri, Jerman malah pada perlawanan peringkat kumpulan menentang Ghana, beliau menjadi penyelamat Jerman daripada dimalukan Ghana apabila menjaringkan gol penyamaan Jerman pada minit-minit akhir perlawanan dan gol tersebut merupakan gol ke-15 beliau yang ketika itu berjaya menyamakan rekod Ronaldo sebagai Penjaring Gol Terbanyak Piala Dunia Sepanjang Zaman.


HALL OF SHAME

1. Luis Suarez gigit Giorgio Chiellini

Luis Suarez (Sumber: AP)

Suarez buat hal lagi dan kali ini di pentas Piala Dunia. Selepas dijulang sebagai wira selepas menjaringkan dua gol penting yang menyebabkan England tersingkir, penyerang Uruguay ini entah mengapa dengan tiba-tiba menjadi kontroversi dan topik bualan hangat peminat sukan apabila beliau menggigit pertahanan Itali, Giorgio Chiellini ketika perlawanan terakhir kumpulan D antara Uruguay dan Itali.

Perlawanan tersebut dimenangi oleh Uruguay dengan jaringan 1-0 namun Suarez yang sebelum ini pernah mempunyai kes yang sama ketika beraksi untuk kelab Ajax Amsterdam dan Liverpool akhirnya menerima padah apabila FIFA mengumumkan bahawa beliau digantung sembilan perlawanan antarabangsa bersama Uruguay yang sekaligus menamatkan aksinya pada Piala Dunia 2014.

Selain tu, beliau juga tidak dibenarkan daripada menyertai sebarang aktiviti berkaitan bola sepak termasuk pergi ke stadium dan didenda sebanyak Swiss Franc 100,000 (RM356,851).

2. Brazil dibelasah Jerman pada separuh akhir

Brazil (Sumber:AP)

Tiada siapa menyangka malah menduga, juara Piala Dunia sebanyak lima kali iaitu Brazil dimalukan dengan kekalahan 1-7 kepada Jerman di hadapan ribuan penyokong sendiri pada peringkat separuh akhir.

Brazil turun tanpa kelibat penyerang sensasi, Neymar yang mengalami kecederaan tulang belakang dan kapten pasukan, Thiago Silva yang digantung satu perlawanan akibat mengutip dua kad kuning ketika melawan Colombia.

Ternyata, kehilangan mereka menyebabkan Brazil hilang punca dan fokus dimana awal 30 minit pertama gawang Brazil dibolosi Jerman sebanyak lima gol oleh Thomas Muller, Miroslav Klose, Toni Kroos (dua gol) dan Sami Khedira.

Pesta derita Brazil tidak berakhir disitu apabila pemain gantian Andre Schurrle menambah dua gol untuk Jerman pada babak kedua dan bumi Brazil bagaikan dilanggar garuda apabila rakyat bagaikan tidak percaya dengan apa yang berlaku.

Malah, ramai yang menangis selepas kekalahan memalukan itu dan paling memeritkan adalah jaringan Miroslav Klose itu juga menjadikannya sebagai Penjaring Terbanyak Piala Dunia Sepanjang Zaman mengatasi rekod legenda Brazil, Ronaldo.

3. Neymar cedera tulang belakang

Neymar (Sumber: AP)

Keghairahan Brazil untuk memenangi Piala Dunia 2014 di gelanggang sendiri terencat apabila penyerang sensasi negara itu, Neymar mengalami kecederaan tulang belakang akibat terkena lutut kanan Juan Camilo Zuniga dari Colombia ketika bersaing untuk mendapatkan bola ketika Brazil bertemu Colombia pada peringkat suku akhir.

Kecederaan itu menyebabkan impian Piala Dunia untuk Neymar berakhir manakala skuad Brazil mengalami kekalahan bertalu-talu kepada Jerman pada separuh akhir dan Belanda pada peringkat playoff tempat ketiga.

4. Kad merah kepada Pepe

Pepe (Sumber: AP)

Disaat Portugal ketinggalan 0-3 kepada Jerman, Pepe menambahkan lagi pening kepala dan luka kepada Portugal apabila bercakaran dengan penyerang Jerman, Thomas Muller dalam perlawanan pertama Kumpulan G.

Beliau kemudian menghantukkan kepalanya kepada Muller menyebabkan pengadil perlawanan tidak banyak bicara kecuali mengeluarkan kad merah dan memerintahkannya keluar padang.

Pepe digantung satu perlawanan dan saingan Portugal dalam Piala Dunia kemudiannya berakhir pada peringkat kumpulan.

5. Laluan ‘flyover’ Belo Horizonte runtuh

Laluan 'flyover' Belo Horizonte (Sumber: AP)

Dua terbunuh manakala 22 yang lain cedera apabila laluan ‘flyover’ Belo Horizonte terletak tiga kilometer dari Stadium Minerao runtuh.

Stadium Minerao merupakan salah satu daripada ‘venue’ dalam Piala Dunia 2014.

Runtuhan menghempap sebuah bas dan beberapa buah kereta yang melalui laluan Avenida Pedro 1 dibawah ‘flyover’ berkenaan.

Sumber: ASTRO Awani 

No comments:

Post a Comment