Khalid Ibrahim
AKHIRNYA, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kehilangan sokongan terpenting sebagai seorang ahli politik PKR yang dipilih menjawat jawatan Menteri Besar Selangor apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan kepada media bahawa PKR bersetuju menukarkan Khalid dengan orang lain.
Jika PKR berkuasa penuh untuk menentukan siapa pengganti Abdul Khalid, sudah tentu perkara ini lebih mudah bagi mudah.
Tapi, menukar Abdul Khalid yang imejnya hanya sekadar dicalarkan tohmahan-tohmahan yang masih tidak dibuktikan bukan mudah.
Selepas PKR, Anwar memerlukan empat sokongan lagi yang selari iaitu DAP, Pas, istana dan Abdul Khalid sendiri.
Rasanya, Anwar boleh menyelesaikan masalah yang pertama iaitu mendapat persetujuan kesemuanya bahawa Abdul Khalid perlu ditukar.
Yang rumitnya ialah soalan – apakah Abdul Khalid akan akur dan meletak jawatan serta Abdul Khalid perlu ditukar dengan siapa?
Dr Wan Azizah?
Melihat daripada pemilihan PKR sendiri di mana kerjasama Nurul Izzah Anwar-Rafizi Ramli-Saifuddin Nasution yang dilihat mendapat sokongan penuh Anwar gagal menguasai pemilihan daripada pasukan Mohamed Azmin Ali, Anwar sudah tentunya ingin isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Presiden PKR menjadi Menteri Besar Selangor berbanding Azmin.
Risikonya ialah Dr Wan Azizah mungkin akan mengalami nasib seperti Shahidan Kassim dan Idris Jusoh, di mana majlis sumpah di istana dilengah-lengahkan kerana pihak istana tidak bersetuju untuk seorang wanita menjadi menteri besar.
Ketika itu, pertembungan dengan istana akan berlaku, dan Dr Wan Azizah adalah mangsanya. PKR sudah cukup dihujani masalah seperti Malaysia Airlines, perlukah mereka menambah masalah dengan penolakan terhadap presiden mereka untuk menjadi menteri besar?
Kesian Dr Wan Azizah yang terpaksa memikul satu demi satu amanah berat parti sejak penubuhan PKR. Mungkin beliau sendiri pun tidak rela, tapi apakah daya kerana suaminya turut ditimpa masalah demi masalah sejak 1998.
Azmin Ali?
Gerakan ‘Asal Bukan Khalid’ menguntungkan Azmin. Ada yang kini rela Azmin menjadi menteri besar Selangor meskipun satu dahulu kala dulu, merekalah penentang kuat perkara ini berlaku.
Ini bukan kerana Azmin berubah tapi kerana status Abdul Khalid menjunam teruk, bukan di kalangan rakyat, tapi di kalangan mereka yang terpaksa bekerja dengannya setiap hari.
Bagi Azmin, asalkan Abdul Khalid tidak menjadi menteri besar, ia sudah adalah satu kemenangan meskipun Dr Wan Azizah yang menjadi menteri besar.
Kemenangannya ke atas Abdul Khalid di pertembungan kerusi timbalan presiden PKR sudah cukup untuk beliau berpengaruh ke atas keputusan kerajaan negeri asalkan Abdul Khalid tidak lagi berada di situ.
Berbanding Dr Wan Azizah, peluang istana untuk menerima Azmin lebih tinggi meskipun beliau tidak dilantik sebagai exco selepas kemenangan di PRU13.
Calon pilihan Abdul Khalid?
Akan tetapi, Azmin belum tentu selamat sekiranya Abdul Khalid melancarkan serangan balas sebagai perang terakhirnya sebelum mengosongkan kerusi menteri besar.
Apakah Abdul Khalid akan mendedahkan salah laku musuh-musuh politiknya sebelum tamatnya karier politik beliau?
Memandangkan PKR sendiri tidak mahu beliau terus menjadi menteri besar, apakah Abdul Khalid akan mencadangkan kepada istana penggantinya juga dari PKR? Susah dibayangkan.
Apakah syarat-syarat yang bakal Abdul Khalid kemukakan untuk peletakan jawatan beliau?
Apakah syarat-syarat yang melibatkan Azmin, yang selama ini ditentangnya habis-habisan? Apakah Anwar akan setuju?
Bayangkan juga jika Abdul Khalid memberitahu Anwar, “Saya tak akan letak jawatan. Kalau nak saya turun, buat ikut perlembagaan – undi tak percaya di Dun.”
Apakah Anwar akan mengambil risiko tersebut, yang besar kemungkinan berakhir dengan pembubaran Dun Selangor?
Penutup
Anwar sebenarnya tidak perlu berbincang dengan Pas dan DAP mengenai penukaran Abdul Khalid sehinggalah beliau sendiri dapat mencapai persetujuan dengan Abdul Khalid.
Susah juga nak jawab jika Abdul Khalid bertanya soalan ini kepada Anwar: “Apa kesalahan saya?”
Jika Anwar membalas dengan isu kitab Bible bahasa Melayu, Lebuh Raya Kidex, loji air Langat 2, masalah hutang dengan Bank Islam dan cubaan meluluskan projek yang melibatkan kepentingan Umno, Abdul Khalid bakal bertanya soalan yang lebih susah dijawab, “Kalau kamu jadi menteri sesar, kamu akan buat apa? Apa bukti kamu bahawa saya mengkhianati negeri dan Pakatan Rakyat?”
Abdul Khalid akan berani tanya soalan sebegini kerana beliau seorang yang melakukan setiap perkara dengan cermat dan berpandukan undang-undang.
Yang pasti, Abdul Khalid bukan Ahmad Said, yang ada rekod-rekod buruk untuk memaksa beliau berundur dan mendengar cakap.
Sebab itu, bukan mudah untuk menukar Abdul Khalid, meskipun Anwar pendesaknya.
Penghalang sebenar penukaran ini bukanlah Pas mahupun presiden Pas sebagaimana dakwaan pemimpin kanan PKR, tapi kesukaran PKR mendapat kerjasama Abdul Khalid untuk berundur secara terhormat.
Ini diburukkan cara melampau yang mereka gunakan untuk menyingkirkan Abdul Khalid sehingga hari ini, kesilapan bermain catur di Langkah Kajang dan strategi pemilihan parti yang gagal.
___________________________________________________
*Dipetik dari blog Timmy Say. Ini adalah pendapat peribadi penulis yang disiarkan di Sinar Harian Online.
No comments:
Post a Comment