Elsemiek de Borst (gambar) salah seorang mangsa yang menaiki pesawat MH17. -gambar fail
KUALA LUMPUR: Seorang bapa warga Belanda yang kematian anak tunggalnya dalam nahas MH17 menulis surat terbuka kepada Presiden Vladimir Putin "mengucapkan terima kasih" kerana menghancurkan hidup mereka sekeluarga.
Dalam suratnya, lelaki itu menceritakan segala cita-cita dan harapan anak gadisnya yang berumur 17 tahun itu.
Menurut Hans de Borst, anaknya Elsemiek de Borst mahu menamatkan sekolah tinggi dan jadi seorang jurutera. Elsemiek menaiki pesawat Malaysia Airlines bersama ibu dan bapa tirinya untuk bercuti di Kuala Lumpur.
Dalam surat itu, beliau merujuk kepada presiden itu sebagai "Tuan Putin Jembalang". Surat itu ditandatanganinya dengan menulis namanya "Hans de Borst – yang telah hancur hidupnya".
"Terima kasih banyak, Tuan Putin, pemimpin pemisah Ukraine kerana membunuh satu-satunya anak saya yang tersayang, Elsemiek," tulis bapa itu.
"Elsemiek tahun depan akan menduduki peperiksaan akhir bersama sahabat karibnya Julia dan Marina. Mereka cemerlang di sekolah. Dia hendak belajar kejuruteraan di Universiti Delft. Dia tidak sabar-sabar lagi.
"Tetapi dalam sekelip mata dia sudah tiada, ditembak di langit sebuah negara asing yang porak peranda kerana perang."
"Saya harap tuan boleh berbangga kerana memusnahkan hidupnya yang masih muda dan tuan boleh menatap wajah tuan sendiri di cermin," tulisnya lagi.
Daripada 298 orang yang menaiki pesawat penerbangan MH17 itu, 193 adalah warga Belanda.
Nahas itu menyentuh perasaan rakyat seluruh negara kerana hampir separuh daripada 193 mangsa itu adalah mereka yang masih muda dan kanak-kanak.
Ukraine menuduh pesawat yang nahas Khamis lalu ditembak jatuh oleh kumpulan pemberontak pemisah yang mengisytiharkan keluar daripada republik itu. Kumpulan yang didukung oleh Rusia itu bagaimanapun menuduh Ukraine yang bertanggungjawab.
Tidak lama selepas nahas itu, satu rakaman audio perbualan yang didakwa antara anggota pemberontak tersebar luas yang menunjukkan mereka terlibat. Kedutaan Amerika Syarikat di Kiev pada Ahad mendakwa rakaman itu tulen. - Agensi
No comments:
Post a Comment