Bingkai gambar di dinding rumah mangsa hangus
KEMAMAN – Seorang ibu kepada enam anak tidak menyangka perasaan ganjil yang dialami setiap kali melangkah ke dalam rumahnya menjadi petanda buruk buat mereka sekeluarga apabila rumah yang didiami hangus dalam kejadian malam kelmarin.
Wanita berkenaan, Norazizan Rani, 48, berkata, dia terpaksa menanggung rugi kira-kira RM50,000 akibat kejadian itu.
“Sejak tiga hari belakangan saya rasa takut nak masuk dalam rumah, rupa-rupanya itu petanda rumah akan musnah,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam di Kampung Pengkalan Cicar, Bukit Kuang itu, kediaman yang dihuni lapan beranak sejak 19 tahun lalu hampir musnah keseluruhannya.
Lebih malang, kebanyakan barang berharga tidak dapat diselamatkan termasuk set komputer, tujuh almari dan mesin jahit.
Norazizan yang juga ibu kepada enam anak berkata, kejadian berlaku ketika dia dan suami, Idris Ali, 56, tiada di rumah kerana mereka pergi menghantar anak kelima, Mohd Ikhbal Itwat, 15, ke kelas tuisyen di bandar Chukai dan sempat singgah di sebuah pasar raya untuk membeli barang keperluan.
“Kira-kira jam 8.45 malam, tiba-tiba suami dapat panggilan daripada anak yang memaklumkan rumah kami terbakar sebelum suami segera menghubungi pihak bomba.
“Nasib baiklah semasa kejadian, tiga anak tidak berada di bahagian yang terbakar itu tetapi berada di dalam rumah bersebelahan yang masih dalam pembinaan,” katanya ketika ditemui semalam.
Tiga anaknya yang berada di rumah bersebelahan ialah Nora Akma, 27; Nurul Huda, 24, dan Nor Athirah, sementara dua lagi anak mereka, Noraikhal, 25, dan Noraishah, 22, masing–masing bekerja di Selangor dan belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang, Kelantan.
Nampak kepulan asap hitam
Sementara itu, Idris yang bekerja sebagai tukang paip berkata, semasa dalam perjalanan pulang dan berada di atas jambatan Bukit Kuang, dia dan isteri melihat kepulan asap hitam dan api menjulang tinggi dari arah kediaman mereka.
“Sebaik sampai, saya tengok pihak bomba sedang bertungkus-lumus memadamkan api. Namun mungkin disebabkan api cepat merebak, jadi pihak bomba memaklumkan hanya 5 peratus struktur rumah sahaja yang tak dimakan api.
“Selain perkakas rumah dan barang elektrik, alat kerja saya juga hangus dijilat api termasuk enam mesin kerja pemasangan paip yang berharga lebih RM2,000 untuk setiap unit,” katanya.
Kebakaran itu dipadamkan 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chukai dibantu BBP Chukai dengan kekuatan dua jentera.
Api dapat dikawal kira-kira jam 9.23 malam dan kebakaran dipadamkan sepenuhnya setengah jam kemudian.
Banyak pihak beri sumbangan
Dalam pada itu, beban Idris sekeluarga sedikit ringan apabila menerima sumbangan segera daripada Pejabat Ahli Parlimen Kemaman, Puteri Umno Dun Chukai dan Bahagian Kemaman serta JKKK Kampung Bukit Kuang.
Sumbangan tunai sebanyak RM500 daripada Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek disampaikan wakil Pejabat Parlimen Kemaman, Tun Mohd Firdaus Tun Muhammad, sementara Puteri Umno Dun Chukai menyerahkan tunai RM100 dan JKKK Kampung Bukit Kuang yang diketuai Pengerusinya, Mohd Fadli Ibrahim menyampaikan sumbangan dua toto.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi JKKK Kampung Bukit Kuang, Ahmad Rostam Mohammad dan Setiausaha JKKK Kampung Bukit Kuang, Nashrul Muqsidh Sabri.
Sumbangan seterusnya akan disampaikan JKKK kepada keluarga terbabit selepas ini kerana kerajaan prihatin akan nasib mangsa sekeluarga.
Idris berkata, mereka sekeluarga bersyukur dan gembira dengan bantuan segera itu yang dapat mengurangkan sedikit kedukaan mereka.
“Alhamdulillah ramai pihak prihatin akan nasib kami yang ditimpa musibah ini. Terima kasih kepada Datuk Seri Ahmad Shabery, Puteri Umno dan JKKK yang sangat prihatin,” katanya.
- Sinar Harian
No comments:
Post a Comment