FORTALEZA: Penjaga gol Mexico, Guillermo Ochoa muncul sebagai wira apabila berjaya menyelamatkan pintu gol pasukannya dari beberapa percubaan bahaya ketika menentang Brazil dalam perlawanan Kumpulan A Piala Dunia 2014 di Arena Castelao, pagi tadi.
Tindakan tangkas bekas pemain kelab Perancis, Ajaccio itu telah mengekalkan kedudukan perlawanan menjadi seri tanpa jaringan.
Seperti yang dijangka, serangan demi serangan telah dibuat oleh Brazil ke atas Mexico di mana pada minit ke-26 menyaksikan Neymar membuat tandukan berbisa namun berjaya diselamatkan oleh Ochoa.
Tidak lama selepas itu, Ochoa menyelamatkan satu lagi rembatan padu yang dibuat oleh Neymar.
Ochoa kemudiannya menyelamatkan dua lagi tandukan, iaitu satu daripada penyerang Brazil, Fred dan satu lagi dari kapten Brazil, Thiago Silva.
Keputusan permainan ini menyaksikan kedua-dua pasukan mengutip empat mata selepas dua perlawanan untuk terus menerajui kumpulan berkenaan.
Kedudukan tanpa jaringan itu berjaya dikekalkan Mexico meskipun Brazil mendominasi lebih separuh permainan.
Bagaimanapun separuh masa kedua menyaksikan Mexico meningkatkan percubaan ke arah gol serta tahap serangan mereka.
Pasukan tuan rumah itu kelihatan kecewa namun terpaksa akur kerana menghadapi kesukaran menembusi benteng pertahanan pihak lawan.
Keputusan berakhir dengan seri, Brazil 0-0 Mexico.
- Astro Awani
No comments:
Post a Comment