Thursday, 19 June 2014

Siapa tunggu mangsa tongkang karam di rumah mayat?

Mayat mangsa tongkang karam tidak dituntut oleh ahli keluarga sehingga lewat malam Rabu - Gambar fail

KLANG: Suasana di luar bangunan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang kelihatan muram selepas satu demi satu mayat mangsa tragedi tongkang karam di bawa masuk.

Limat mayat mangsa tiba di perkarangan Jabatan Forensik pada jam 4 petang.

Cuaca yang terik pastinya dapat membuat sesiapa sahaja merasa penat. Bisik-bisik kedengaran di antara pemberita dan jurukamera mereka, mungkin mula merasa letih selepas seharian menunggu tanpa jawapan daripada mana-mana pihak.

Selepas lebih empat jam menunggu, tiba lori kedua yang membawa tiga lagi mayat, tetapi kelibat ahli keluarga tetap tidak kelihatan.

Mereka yang menunggu di luar Jabatan Forensik mula membuat spekulasi sendiri.

“Mungkin lewat sedikit ada waris akan datang.”

“Mungkin lewat sedikit pengarah hospital akan datang untuk memberi kenyataan.”

Ya, mungkin.

Setengah jam kemudian, sebuah lori lagi tiba membawa mayat seorang wanita.

“Wanita itu nampak muda,” kata seorang pengawal keselamatan beruniform putih yang selesa dipanggil pakcik.

Semakin lewat malam, seorang demi seorang pemberita pulang tanpa mendapat apa-apa perkembangan terbaru.

“Mungkin esok kita akan dapat maklumat terbaru,” kata salah seorang pemberita sambil berjalan lalu.

Tiga buah khemah dipasang di hadapan pintu masuk Jabatan Forensik bagi memudahkan urusan antara pihak hospital dan waris mangsa.

Tetapi, dimana warisnya? Tiada siapa yang ingin menuntut mayat mereka yang sedang dibedah siasat itu?

“Entah,” jawab seorang anggota polis sambil mengerutkan dahinya.

Sembilan mayat di bawa pada Rabu, namun tiada waris atau ahli keluarga hadir untuk menuntut mayat mereka atau setidak-tidaknya menunggu sementara proses bedah siasat selesai.

Yang ada hanyalah anggota polis, petugas hospital serta pemberita yang datang untuk ‘menyambut’ mereka.

Sayu keadaan apabila melihat tempat menunggu bagi ahli keluarga terus kosong sehingga jam 10 malam.

Sedikit harapan wujud apabila sekumpulan warga Indonesia tiba di perkarangan hospital namun sebaliknya, mereka tiada kaitan langsung dengan sembilan mangsa tersebut.

Semalam, 97 pendatang asing tanpa izin warga Indonesia yang menaiki tongkang ini sedang dalam perjalanan ke kampung halaman mereka bagi menyambut bulan Ramadan yang hampir tiba.

Niat di hati untuk pulang ke kampung bertemu keluarga tercinta tidak kesampaian apabila tongkang tersebut karam.

62 orang daripada mereka berjaya diselamatkan, namun nasib lagi 26 masih belum diketahui.

Jika mereka ditemui, adakah nasib mereka sama seperti sembilan mayat itu? Harapnya tidak. Harapnya ada ahli keluarga yang akan datang menjemput mereka.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment