Thursday, 19 June 2014

BBC News atau Anwar kantoi?

ANWAR Ibrahim sangat sinonim dengan media barat. Hubungan beliau dengan mereka ibarat aur dengan tebing, mula terjalin sejak beliau dipenjara pada akhir 1990an.

Anwar dan beritanya dalam media barat sebelum dipecat dari Kabinet pada 2 September 1998 tidak signifikan. Maknanya kalau adapun lebih bersifat berita hasil daripada kenyataan atau portfolio yang dipegang. Malah ketika itu jika analisis kandungan dibuat, dari segi populariti Dr Mahathir Mohamed jauh mengatasinya.

Ketika itu media barat melihat Dr Mahathir sebagai musuh bersama yang harus dimusnahkan kerana salah satunya ialah kritikannya terhadap dasar Israel dan Zionis Yahudi serta sikapnya terhadap dasar-dasar barat.

Media alternatif seperti sekarang tidak wujud untuk menyaingi laporan media barat. Mereka berjaya mempengaruhi minda pelajar untuk bersikap anti kerajaan dan pada masa sama pro-Anwar. Puncanya tentulah kandungan berita yang disiar dalam akhbar-akhbar ini.

Hari ini walaupun pelajar kita masih ramai yang cenderung menyokong pembangkang, namun hakikatnya maklumat mengenai negara kita dan dasar-dasar kerajaan dari sumber sahih semudah memetik jari.

Maklumat berada di hujung jari bagi mereka yang mencari kebenaran.

Media barat pula yang dilihat seperti hilang kawalan dan masih agresif tidak habis-habis dengan laporan negatif mengenai kita. Dalam kes kehilangan MH370, imej Malaysia terus diconteng.

Mereka mendakwa kerajaan kita menyembunyikan maklumat. Bahkan kita dituduh mempunyai maklumat mengenai kedudukan MH370. Anwar sendiri menganggap episod kehilangan pesawat ini sebagai satu cover-up.

Pada sekitar tahun 1990an dan 2000, BBC News dan beberapa media barat yang berpengkalan di United Kingdom atau AS banyak melapor mengenai perbicaraan Anwar dalam kes liwat.

Maka tidaklah memeranjatkan minggu lalu BBC News sekali lagi menghidangkan isu sama untuk tontonan dunia dengan mengadakan temu bual membabitkan Anwar. Wartawan yang mengendalikan temu bual itu ialah Stephen Sacku.

Mesej yang dihasilkan dari interviu itu agak jauh daripada jangkaan. Sepatutnya pada akhir wawancara Anwar seperti biasa muncul wira tapi dalam konteks kali ini hal itu tidak berlaku. Anwar gagal menepis soalan serta jawapannya pula mengundang sindiran daripada Stephen.

Anwar mendakwa dia terpaksa berjuang menentang kerajaan 'autoritarian' berhubung isu liwat namun hal ini disangkal Stephen dengan berkata “tidak, anda berdepan dengan perjuangan di mahkamah.”

Maksudnya ini bukan urusan kerajaan tetapi merupakan hal ehwal membabitkan Anwar dan mahkamah.

Ketika wawancara itu, Anwar berusaha mengalih subjek tetapi ditegur Stephen berulang kali. Malah wartawan itu mempertikai jawapan yang diberi. Stephen enggan diheret dalam isu kehilangan pesawat MH370 kerana soalannya mengenai isu politik belum habis dijawab.

Anwar juga gagal meyakinkan Stephen bahawa mahkamah dan media di negara ini tidak bebas. Kata Stephen: “Anda telah menyampaikan mesej itu kepada rakyat Malaysia sejak bertahun-tahun lalu tetapi nampaknya mereka tidak menerimanya. Maksud saya, pihak pembangkang telah melakukan segala-galanya dalam PRU13 namun anda masih tidak boleh menang.”

Anwar yang cuba meyakinkan Stephen bahawa pembangkang di Malaysia menang kerana menang undi popular tapi berlaku sebaliknya. Dengan nada skeptis Stephen bertanya bukankah BN menang lebih banyak kerusi Parlimen dalam PRU13 yang lalu.

Wartawan itu juga tidak setuju dakwaan Anwar tentang isu kehilangan MH370 yang didakwa tokoh reformasi itu ada cover up. Kata Stephen lagi: “Kerajaan Malaysia mendakwa anda mempolitikkan isu tersebut yang secara jelas mengecewakan keluarga para penumpang dan anak kapal yang masih hilang."

Banyak yang hendak diulas mengenai wawancara BBC News tempoh hari, namun hakikatnya zaman Anwar memperoleh kelebihan di barat melalui layanan istimewa dari media asing merupakan sebuah sejarah lapuk.

Sementara Najib berusaha membawa Malaysia memasuki era baharu serta pada masa sama mengadunkan dasar politiknya yang dilihat pro rakyat dengan keadaan semasa, suasana diakar umbi mulai melalui saat-saat perubahan memihak BN.

BBC News bukanlah yang pertama dalam hal ini, malah keputusan PRK Teluk Intan yang memihak calon BN adalah satu testimoni bahawa bintang Anwar sudah tidak sama macam dulu-dulu.

Soalnya siapakah selepas Anwar?. Jika benar dia sudah hilang umphhnya maka tidak syak lagi kita akan lihat kemunculan ikon baharu bagi menggantikan ikon lama agar agenda media barat di negara ini, seperti selalu, dapat diteruskan.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment