Sunday, 2 March 2014

Warga emas rugi RM100,000

Warga emas rugi RM100,000
Mek Senik menunjukkan barangan dalam biliknya yang bersepah dalam kejadian pagi kelmarin. - Foto Sinar Harian


KOTA BHARU - Seorang warga emas terpaksa berputih mata apabila kesemua barang kemas dan wang miliknya bernilai hampir RM100,000 dilarikan perompak dalam kejadian pecah masuk di Jalan Guchil Bayam, di sini, pagi kelmarin.

Kejadian disedari Mek Senik Jusoh, 69, sekitar jam 12 tengah hari selepas mangsa pulang dari mendengar ceramah di Dataran Ilmu.

Mek Senik berkata, pada mulanya, dia dijemput oleh suaminya dalam keadaan tergesa-gesa namun dia tidak mengesyaki apa-apa sehingga suaminya mengatakan rumah mereka dimasuki perompak.

“Tergamam dibuatnya, apabila ketiga-tiga bilik termasuk bilik saya turut diselongkar dan barang-barang dalam kamar tidur habis bersepah.

“Hampir pengsan saya dibuatnya, apabila mendapati wang tunai dan juga barang kemas yang disembunyikan di dalam bilik telah hilang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya semalam.

“Kesemua barangan yang hilang termasuk, tiga utas gelang tangan bernilai lebih RM20,000, seutas rantai leher berlian bernilai lebih RM10,000 tiga bentuk cincin emas, berlian dan zamrud dan wang tunai hampir RM20,000.

“Memang saya tidak menyangka kejadian ini akan berlaku, namun saya cuba gagahkan diri untuk mengetahui barangan yang hilang dan membuat laporan polis,” katanya.

Mek Senik berkata, sehingga hari ini, dia masih trauma dengan kejadian itu dan tidak dapat mengemas rumah yang telah diselongkar perompak memandangkan amat terkejut dengan kejadian itu.

“Saya mengesyaki perompak masuk menerusi pintu belakang yang telah dipotong mangganya dan diumpil pintu papannya.

“Sejak enam tahun lalu, ini adalah kali ketiga rumah ini dirompak bagaimanapun, kali ini melibatkan kerugian yang paling besar,” katanya.

Menurutnya, kejadian pertama kira-kira enam tahun lalu namun waktu itu hanya sedikit barangan diambil manakala kali kedua kami kehilangan sebuah kereta Nissan Sunny iaitu pada tiga tahun lepas.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu Superitendan Idris Abd Rafar, mengesahkan menerima laporan kejadian dan menurutnya, suspek mengumpil pintu di bahagian dapur untuk dijadikan sebagai jalan keluar dan masuk.

“Kawasan belakang rumah mangsa adalah kawasan semak dan terlindung dari pandangan orang ramai. Tiada saksi yang melihat kejadian dan kawasan rumah mangsa juga tidak berpagar. Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK),” katanya. - Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment