Monday, 17 March 2014

Shalwati & Azizul: Keputusan pada 28 Mac


KUALA LUMPUR: Ketua Hakim, Mattias Moller pada Jumaat lepas menetapkan bagi Shalwati Nor Shal dan Azizul Raheem Awaluddin terus ditahan sehingga keputusan dibaca pada 28 Mac nanti. Walaupun begitu, beberapa sekatan sepanjang penahan itu ditarik balik oleh Ketua Hakim.

Pasangan Malaysia yang ditahan sejak Disember tahun lepas atas dakwaan memukul keempat-empat anak mereka di Sweden, kini dibenarkan lawatan oleh ahli keluarga dan rakan-rakan di pusat tahanan reman.

Di hari terakhir perbicaraan itu, pendakwaraya, Anna Arnell menyatakan kesangsian penuhnya terhadap kredibiliti Shalwati dan Azizul dalam menjaga anak-anak dan kenyataan Azizul yang tidak konsisten.

Arnell menyeru supaya mahkamah menjatuhkan hukuman yang lebih berat kepada pasangan ini iaitu hukuman penjara selama dua tahun setengah kepada Shalwati dan dua tahun bagi Azizul. Pihak pendakwaraya juga menggesa supaya kedua-duanya diusir keluar Sweden.

Hari ke-11 dan hari terakhir perbicaraan di mahkamah Daerah Solna juga menyaksikan hujah penutupan kedua-dua peguam pertahanan dan pendakwa.

Peguam Shalwati, Kristofer Stahre dan peguam Azizul, Jonas Tamm dalam hujah penutup mereka, menekankan keraguan yang munasabah yang telah dibangkitkan sepanjang perbicaraan.

Antara lain ialah ketidakselarasan dalam kenyataan saksi, tempoh masa yang kurang jelas serta kekurangan bukti sokongan yang ketara.

Menurut seorang ahli keluarga yang menghadiri pendengaran itu, kedua-dua Shalwati dan Azizul tampak tenang sepanjang perbicaraan dan gembira kerana mereka kini boleh berjumpa keluarga dan rakan-rakan mereka selepas begitu lama.

Sweden telah mengharamkan hukuman dera ke atas kanak-kanak sejak tahun 1979, bermakna Azizul dan Shalwati boleh menghadapi sehingga enam tahun penjara dan denda, jika didapati bersalah melanggar integriti anak-anak mereka.

Sejak ditahan pada tahun lepas, Azizul dan Shalwati belum bertemu dengan kempat-empat anak-anak mereka.

Azizul Awaluddin Raheem, seorang pegawai Tourism Malaysia dan Shalwati, seorang guru yang sedang bercuti tanpa gaji telah ditahan sejak Disember tahun lalu kerana dipercayai mendera keempat-empat anak mereka yang kini berada dalam jagaan ibu saudara di Kelantan.

Kesemua mereka dibawa pulang dari Sweden oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin, pada awal bulan ini.

Anak sulung pasangan tersebut, Aishah, 14, dan Ammar kini bersekolah di SMK Padang Kala sementara Adam, 11 dan Arif pula menuntut di SK Padang Kala, Kota Bharu.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment