Saturday, 1 March 2014

Perihal pelukis komik Calvin and Hobbes

SELEPAS sekian lama mengasingkan diri, pelukis komik Bill Watterson yang terkenal dengan siri komik Calvin and Hobbes muncul semula di khalayak ramai —setidak-tidaknya hasil kerja beliau. Dia melukis poster untuk sebuah dokumentari bertajuk Stripped yang akan mula ditayangkan kepada umum mulai April ini. Poster itu adalah lukisannya yang pertama untuk umum dalam masa hampir 20 tahun selepas dia bersara dan menamatkan kisah Calvin and Hobbes.

Stripped mengisahkan nasib dan masa depan kartunis ketika banyak akhbar di Amerika Syarikat tidak lagi dicetak sebaliknya hanya terbit dalam bentuk digital. "Ini agak menakutkan bagi kami kerana kami kartunis," kata seorang daripada mereka yang diwawancara dalam dokumentari itu.

Poster filem dokumentari Stripped hasil lukisan terbaru Bill Watterson yang menyepi sejak persaraannya pada hujung 1995.

Dokumentari itu menampilkan wawancara dengan lebih 70 kartunis termasuk Watterson. Ini dipercayai adalah wawancara pertama Watterson yang dirakamkan dengan kamera sejak bersara mengejut pada akhir 1995.

Watterson bersara ketika berada di kemuncak kariernya. Pada dekad kemasyhurannya itu, Calvin dan Hobbes — watak budak enam tahun yang kuat berkhayal dan bersahabat dengan harimau dalam dunia khayalannya itu — diterbitkan di lebih 2,400 buah akhbar di seluruh dunia. Sejak bersara, dia yang tidak pernah suka diwawancara oleh wartawan – dan tidak juga suka fotonya diambil – terus mengasingkan diri seolah-olah memutuskan hubungan dengan dunia.

Tiga wartawan pernah cuba menjejaknya termasuk seorang yang ditaja oleh Washington Post pada 2003 tetapi semuanya gagal. Seorang penulis, Nevin Martell kemudian mencuba hampir setahun untuk mendapatkan satu temu bual dengan Watterson untuk buku yang ditulisnya – gagal juga. Buku Looking for Calvin and Hobbes itu kemudiannya terbit dengan memetik pandangan dan anekdot daripada hampir semua orang yang mengenali Watterson tetapi tidak ada wawancara dengan kartunis itu sendiri.

Bagi banyak orang, itu sikap orang sombong. Tetapi bagi Watterson, dia dan kisah hidupnya tidak penting; apa yang penting ialah komiknya.

Apa yang berlaku kemudiannya ialah Calvin and Hobbes terus hidup tanpa Watterson dan tanpa cerita baru sejak 19 tahun lalu. Tetapi sehingga hari ini, ia terus menemukan peminat baru dan masih terbit dalam akhbar di lebih 50 buah negara. Buku koleksi kartun itu juga – 18 judul semuanya – terus diulang cetak. Ia terjual lebih sejuta naskhah setiap tahun dan sehingga sekarang sudah laku hampir  50 juta naskhah semuanya.

Apa yang tinggal tentang Calvin and Hobbes hanya buku-buku itu – tidak ada baju T, bekas pensil atau koleh kopi, tidak ada juga siri televisyen atau filem 3D apatah lagi taman tema yang jadi tumpuan pada musim cuti. Calvin and Hobbes bukan macam Upin dan Ipin, Doraemon dan Spongebob atau Batman dan Spiderman.

Watterson sebenarnya boleh jadi kaya-raya sama seperti misalnya Jim Davis dengan Garfield, tetapi dia tidak mahu. Davis sudah tidak lagi jadi kartunis; dia sekarang usahawan yang sebahagian besar kreativitinya ialah berfikir bagaimana hendak menjual Garfield.

Davis mula melukis watak kucing pemalas itu pada 1978 dan tiga tahun selepas Garfield terbit, dia menubuhkan Paw Inc. untuk mengendalikan aspek perniagaan yang boleh dilesenkan. Ia juga menggajikan lebih 20 kartunis untuk menyiapkan siri komik itu bagi pihak Davis. Menjelang 2004, Paw Inc. membuat untung sehingga RM3 bilion setahun hasil bermacam-macam barang niaga dan lesen di serata dunia.

Watterson tidak pernah percaya Calvin and Hobbes harus dilesenkan biarpun itulah yang dikehendaki oleh agennya. Dia cukup tegas berdiri dengan pendiriannya. Baginya, Calvin and Hobbes mesti dinikmati sebagai komik bukannya penghias koleh atau dicap pada baju T. Bukan dia tidak tahu Calvin and Hobbes itu ibaratnya angsa bertelur emas tetapi dia sanggup kalau angsa itu tidak bertelur.

“Kalau itu aku lakukan, aku tidak akan lagi berfikir tentang bagaimana hendak menghasilkan idea yang asli tetapi sebaliknya bagaimana hendak terus mengaut untung daripada watak-watak itu,” tulis Watterson dalam sebuah buku koleksi komiknya.

Dia juga menegaskan dia jadi kartunis kerana hendak melukis kartun, bukan menguruskan sebuah empayar korporat.

Bukan sekali itu Watterson dipaksa memilih satu antara dua – mengejar cita-citanya jadi kartunis atau hidup mewah jadi hartawan yang kaya dengan kartun. Lama sebelum Calvin and Hobbes terbit dan ketika itu Watterson belum ada kerja tetap, dia pernah ditawarkan melukis komik yang wataknya hendak dijual sebagai barang dagang. Watak itu ciptaan orang lain. Pelan perniagaannya sudah siap; tunggu dia setuju saja.

Tetapi dia menolak peluang yang datang ke riba. Dalam hatinya, dia mengaku marah kerana rasa dihina. Dia tidak peduli kalau terpaksa kembali bersusah payah mencari penerbit Calvin and Hobbes asal saja dia tidak perlu buat kerja yang dia tidak suka.

Tiga empat tahun selepas itu, Calvin and Hobbes terbit secara sindiket. Siri pertama terbit hanya di 35 buah akhbar dan tidak sampai dua tahun, 300 buah akhbar. Dalam masa yang singkat, Calvin and Hobbes jadi besar – watak-watak itu benar-benar jadi angsa yang bertelurkan emas. Tetapi tidak sampai lima tahun, Watterson mula bertelagah dengan pemilik sindiket kerana prinsipnya itu.

Kemuncaknya, dia berhenti melukis kartun dan menamatkan siri Calvin and Hobbes. Tempoh Watterson berkarya tidak lama – hanya sepuluh tahun – tetapi dia meninggalkan kesan dan pengaruh yang cukup besar kepada para peminatnya dan kepada dunia komik.

Kepada sesetengah orang, dia dilihat bodoh kerana menolak tuah. Tetapi kepada banyak orang, dia sangat dihormati sebagai orang berprinsip – tinggi moralnya, tidak tunduk dengan pujukan wang, berani menongkah arus dan tetap pendirian.

Tidak ramai orang seperti itu di dunia ini, sekarang ini.

Sumber: ASTRO Awani 

No comments:

Post a Comment