Thursday, 20 March 2014

Peniaga berdepan 67 tuduhan tipu Pos Malaysia

KOTA BHARU - Seorang peniaga hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas 67 pertuduhan menipu Pos Malaysia Berhad dengan mengemukakan borang Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) menggunakan nama arwah bapanya bagi melakukan pengeluaran berjumlah RM332,000 dari 2007 hingga 2008.

Ismail Abdul Rahman, 60, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan itu selepas dibacakan di hadapan Hakim Mohd Yusoff Yunos.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menipu Pos Malaysia Berhad dengan memperdayakan seorang pegawai dengan mengemukakan borang ASNB 31 di atas nama Abdul Rahman Che Awang untuk dengan curangnya mendorong pegawai itu melakukan satu transaksi pengeluaran wang RM5,000 daripada akaun ASNB itu yang didaftarkan atas nama Abdul Rahman yang disahkan sudah meninggal dunia, di mana pegawai itu tidak akan menyerahkan wang itu sekiranya tidak diperdayakan.

Kesalahan itu dilakukan di kaunter pejabat Pos Malaysia cawangan Jalan Kebun Sultan di sini pada 16 Ogos 2007.

Untuk pertuduhan kedua hingga 67, Ismail turut didakwa melakukan kesalahan sama di tempat sama menggunakan akaun milik individu sama membabitkan pengeluaran jumlah yang hampir sama dalam tempoh 2007 hingga 2008 yang membabitkan nilaian sebanyak RM332,000.

Untuk setiap pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun, dan dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Salam Yusof manakala tertuduh diwakili peguam Nik Mohamad Amin Nik Abdullah.

Terdahulu, Ahmad Salam menawarkan ikat jamin sebanyak RM3,000 bagi setiap pertuduhan dan mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM90,000.

Mahkamah kemudian menetapkan 24 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Bernama

No comments:

Post a Comment