Thursday, 20 March 2014

'Julia, anak kau dah tak ada...'

'Julia, anak kau dah tak ada...'
Bilik air di mana Siti Nuraisyah terjatuh Isnin lalu sebelum menemui ajal keesokan harinya. (Gambar kecil) Allahyarham Siti Nuraisyah.


SABAK BERNAM – “Anak kau dah tak ada, dia dah meninggal dunia," demikian SMS mengejutkan yang diterima seorang ibu tunggal dikenali sebagai Julia, 25, daripada ibu kandungnya, pagi kelmarin.

Menurut Julia, sebaik sahaja sedar dari tidur kira-kira jam 10 pagi, dia terkejut menerima banyak panggilan tidak berjawab diterima daripada ahli keluarga yang lain termasuk SMS memaklumkan anaknya, Siti Nuraisyah Mohd Razib, 3, meninggal dunia.

Bagaimanapun, katanya, dia seolah-olah tidak percaya dengan berita itu dan berulang kali meminta kepastian daripada ibunya.

"Bila dah dijelaskan, saya bergegas balik kampung. Luluh hati mengenangkan anak yang dikasihi pergi meninggalkan kami selama-lamanya. Saya terkilan tak sempat berjumpa dengannya petang semalam (kelmarin),” katanya kepada Sinar Harian.

Siti Nuraisyah sebelum ini mengalami pendarahan teruk di bahagian kepala akibat terjatuh dari bilik air rumah bapa saudaranya di Taman Air Manis, Sabak Bernam, Isnin lalu.

Bagaimanapun, kanak-kanak itu terpaksa dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam jam 9.30 pagi keesokannya apabila mengalami muntah dan sesak nafas dan disahkan meninggal dunia 30 minit selepas menerima rawatan.

Julia yang bekerja di sebuah hotel terkemuka di ibu negara berkata, anaknya tinggal menumpang sementara di rumah salah seorang adiknya dan dia memang berhasrat mengambil Siti Nuraisyah untuk tinggal bersama di Cheras.

“Saya tinggalkan dia di rumah adik sebab nak selesaikan masalah perceraian dengan bekas suami. Saya memang rancang nak ambil Siti Nuraisyah tinggal dengan saya.

“Apa lagi boleh buat, semua ini kehendak ALLAH. Saya pasrah walaupun jauh di sudut hati rasa sangat perit," katanya.

Julia memberitahu, dia memang berhasrat berjumpa Siti Nuraisyah petang kelmarin setelah hampir dua minggu tidak bertemu anak ketiga daripada empat beradik itu, namun malangnya hasrat itu bertukar detik hitam yang memilukan.

“Kehilangannya dah tentu merentap jiwa saya, apatah lagi saya dah rancang nak jumpa dia. Tapi ALLAH lebih sayang padanya,” katanya.

Menurutnya, dia masih teringat kata-kata terakhir anaknya itu dan masih terbayang senyuman dilemparkan Siti Nuraisyah di rumah adiknya sewaktu dia ingin pulang semula ke Kuala Lumpur.

“Kali terakhir, saya sempat mandikan dia, kucup dahinya sepenuh hati," katanya.

Katanya, jenazah anaknya itu dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Batu 37 Sekendi untuk disemadikan kira-kira jam 8 malam kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Muhammad berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu daripada Unit Kecemasan HTAJ Sabak Bernam kira-kira jam 10.05 pagi kelmarin.

Beliau berkata, kanak-kanak itu dipercayai meninggal dunia sehari selepas kejadian dia terjatuh tertiarap dari bilik air rumah bapa saudaranya itu dan kemudiannya kembali sedar, bagaimanapun mangsa mengalami sesak nafas keesokan paginya.

“Terdapat kesan lebam di kepala dan muka mangsa dan siasatan polis mendapati tiada sebarang unsur jenayah,” katanya.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment