Friday, 21 March 2014

Hutan gambut seluas 1,276 hektar terbakar

KUALA TERENGGANU - Enam lokasi kebakaran hutan tanah gambut dan belukar berjaya dikawal serta dipadamkan sepenuhnya oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Negeri Abdullah Zawawi Mohamed berkata kebakaran seluas kira-kira 1,276 hektar kawasan hutan tanah gambut membabitkan antara daerah Dungun, Setiu, Besut serta Kuala Terengganu dan Kemaman yang dikesan sejak Januari lalu.

"Kesemua kebakaran melibatkan hutan tanah gambut serta belukar berjaya dipadamkan sepenuhnya secara berperingkat bermula 7 Mac sehingga 17 Mac lepas. 

"Namun bagi kebakaran hutan di Setiu serta Dungun masih terdapat kepulan asap dan kita masih meletakkan anggota di kawasan hutan tanah gambut itu untuk mengawal kebakaran jika terdapat kebakaran berulang di kawasan itu," katanya kepada Bernama. 

Menurutnya kawasan hutan di Tok Kah, Dungun paling teruk terbakar yang memusnahkan seluas 411 hektar hutan tanah gambut sejak 25 Januari.

Ini diikuti di Teluk Kalong, Kemaman seluas 260 hektar, Ladang Rakyat, Setiu 250 hektar dan Kampung Pagar Besi, Kuala Terengganu 200 hektar. 

"Kebakaran di Tok Kah memakan operasi paling lama iaitu selama 51 hari kerana kedalaman tanah gambut yang terbakar sehingga mencecah 15 kaki dan hampir setiap tahun kebakaran hutan di kawasan itu berlaku dan kali terakhir dikesan pada tahun 2010," kata Abdullah Zawawi. 

Beliau berkata bomba turut berdepan kesukaran untuk mengawal kebakaran itu antaranya tiada akses untuk melakukan pemadaman, punca air serta risiko haiwan berbisa semasa menjalankan operasi.

Sejumlah 263 pegawai dan anggota dikerah bagi mengawal kebakaran sehingga padam sepenuhnya, katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment