Mokissu
GANDINGAN dua selebriti, Danny Koo dan Yumi Wong, boleh dikelaskan sebagai pasangan sama cantik sama padan.
Namun, menerusi filem berbahasa Cina terbaharu terbitan, Pelangi Publishing, pengacara rancangan popular kanak-kanak ini terpaksa mengorbankan imejnya.
Menggalas watak sebagai Bao Ya, dia turut mendambakan cinta dari pelajar paling cantik di sekolahnya, Ai Ling, lakonan Yumi Wong. Menurut Danny, walaupun filem Mokissu ini bercorak komedi ringan, namun dia turut berdepan dengan cabaran dalam membawakan watak tersebut.
"Dalam filem ini, saya adalah seorang pelajar lelaki yang kurang dari segi penampilan, malah saya juga jongang.
"Jadi, setiap kali penggambaran dimulakan, saya perlu mengenakan gigi palsu dan menghadapi kesukaran untuk bercakap.
"Malah, ada juga beberapa kali gigi itu terkeluar ketika sedang bercakap," katanya sambil ketawa.
Walaupun terpaksa mengorbankan imejnya, namun Danny berpuas hati dengan hasil lakonannya itu.
"Saya lebih sinonim sebagai pengacara dan bidang lakonan ini adalah cabang baru saya.
"Malah, saya juga masih dalam proses pembelajaran dan akan memperbaiki mutu lakonan dari masa ke semasa," katanya lagi.
Rahsia identiti
Walaupun terkenal sebagai pelajar paling cantik di sekolahnya, namun Yumi turut menyembunyikan rahsia keluarga.
Menurut selebriti yang terkenal dengan jolokan, 'Angela baby Malaysia' ini, Yumi membawa watak Ai Ling di mana dia berasal dari keluarga miskin.
"Dalam filem ini, saya merahsiakan identiti keluarga saya kepada rakan-rakan kerana malu.
"Tambahan pula bapa saya merupakan pengawal keselamatan di sekolah saya. Jadi, saya akan tunggu sehingga kesemua kawan-kawan saya balik dahulu, barulah saya balik dengan ayah.
"Saya berminat untuk membawakan watak ini kerana ianya turut menguji kemampuan mental saya. Walaupun bergenre komedi, namun tetap ada kesedihan dalam filem ini," kata pelakon filem Ah Beng ini.
Gandingan pertama
Meskipun ianya merupakan gandingan pertama Yumi dan Danny, namun masing-masing mengakui tidak kekok untuk bersama.
Jelas Danny, tiada sebarang permasalahan besar yang berlaku ketika sesi penggambaran kerana ianya turut diselang-selikan dengan gelak ketawa. Malah, mereka juga saling membantu antara satu sama lain untuk proses penghayatan watak yang lebih berkesan.
"Saya selesa bekerjasama dengan Yumi kerana kami saling membantu sekiranya perlu.
"Malah, ini merupakan pengalaman manis saya dalam bidang lakonan," katanya lagi.
Tambah Yumi, walaupun Danny masih baharu, namun dia dapat menjayakan watak itu sebaik mungkin.
"Lakonan Danny tidak kurang hebatnya dan dia boleh pergi lebih jauh lagi dalam bidang lakonan," jelasnya.
Selain Yumi dan Danny, filem arahan Tai Min Hwee, turut membariskan beberapa pelakon lain termasuk Lilian Wenwen dan Penny Tai.
Filem yang baharu sahaja menemui penonton di pawagam pada 20 Mac lalu ini mengisahkan mengenai kejadian yang berlaku di sebuah sekolah apabila pengetua disahkan terkena jangkitan denggi.
Pelbagai usaha dilakukan untuk memerangi nyamuk Aedes agar tidak terus merebak.
Selain itu, filem ini turut menyajikan kisah pahit manis percintaan remaja yang sedang meningkat usia.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment